Salinan laporan polis terhadap penularan dua video memperlekehkan kakitangan dan Hospital Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Hospital Putrajaya membuat laporan polis berhubung penularan dua video yang telah menjejaskan imej Hospital Putrajaya dan kredibiliti kakitangan serta para pegawai perubatan dalam mengendalikan COVID-19.

Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Hospital Putrajaya Datuk Dr Nora’i Mohd Said berkata video pertama dipercayai milik seorang selebriti yang mempunyai impak tontonan tinggi.

Video kedua pula adalah dari saluran YouTube, milik seorang lagi selebriti yang memperkatakan dan menyokong isu dibicarakan oleh pemilik selebriti pertama.

Dr Nora’i berkata isu berkenaan telah diperbesar-besarkan dengan perkataan-perkataan kesat terhadap petugas kesihatan yang menjalankan tugas.

“Pengurusan Hospital Putrajaya memandang serius akan perkara ini dan turut kesal dengan penularan video tersebut,” katanya.

Beliau berkata orang awam seharusnya lebih peka dengan keadaan semasa wabak COVID-19 dan setiap petugas kesihatan telah mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan ditetapkan sepanjang mengendalikan wabak itu.

“Para petugas keletihan dan terpaksa mengenepikan ahli keluarga masing-masing demi tugas yang bahaya ini.

“Penularan ini telah memberi tekanan emosi kepada para petugas sedangkan sokongan moral dan semangat yang harus diberikan, dan bukannya kata cacian dan kesat seperti ini,” katanya.

Dr Nora’i berkata laporan polis itu dibuat bertujuan mendapat tindakan sewajarnya daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap individu yang tidak menghormati tugas anggota paramedik.

— BERNAMA

3 Komen

  1. PDRM wajib ambil tindakkan terhadap mereka yang tak bertanggungjawap itu yang menularkan video berkenaan.

  2. Pihak PDRM & SKMM harus mengambil tindakan sewajarnya terhadap isu ini. Pihak perubatan hadapan yg ketika ini sedang bertungkus lumus menghadapi wabak C19 adalah benteng pertahanan kepada masyarakat umum bagi mengawal penularannya wabak ini dgn tenaga dan semangat mereka walaupun terpaksa membelakangi kepentingan peribadi.Mereka juga mempunyai komitmen yg lebih penting dan besar khususnya yg telah berumahtangga selain yg masih punya ibu bapa termasuklah saudara mara. Pasti takkan ada mana2 individu yg mampu mengambil alih tempat mereka dlm menghadapi situasi getir ini. Mereka sebnarnya lebih bertarung atas nyawa mereka sendiri berbanding segelintir individu yg hanya melepaskan katidakpuasan hati mereka terhadap layanan dr pihak perubatan seperti yg mereka mahukan. Kita sepatutnya bersyukur kerana pihak perubatan masih sanggup menggadai nyawa untuk membantu kerajaan khususnya masyarakat dalam menangani situasi ini.

  3. Lebih punya mangkuk.. satu mangkuk hayun satu lagi mangkuk jamban. Seletberet lh katakan.. poo dah..

Comments are closed.