Azwan Ali
Azwan Ali. foto AFIQ RAZALI, 11 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Pengacara kontroversi,  Azwan Ali membuat permohonan maaf secara terbuka selepas Hospital Putrajaya membuat laporan polis berhubung perbuatannya yang didakwa menghina kakitangan perubatan itu.

Azwan atau lebih dikenali Diva AA turut meluahkan rasa kesal dengan tindakannya itu dan berharap isu ini dapat diselesaikan segera dan berharap insiden itu menjadi pengajaran kepada semua pihak.

“Saya Azwan Ali nak memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung dengan mulut Diva AA, nak buat macam mana dah memang macam tu!

“Saya mohon maaf secara terbuka kepada Hospital Putrajaya, para doktor dan pengurusan kerana content perutusan khas Diva AA bahagian tiga menjadi panas dan mencetuskan kontroversi sehingga ada pihak-pihak tertekan dan diganggu emosi
sebagainya.

“Kita ni kadang-kadang tak jaga mulut… bahasa, mungkin ada yang suka Diva AA mulut celupar maki hamun sana sini tapi ada juga pihak yang tersinggung. Kalau salah kita minta maaf jela,” katanya lulusan Undang-Undang dari Universiti Malaya itu.

Artikel berkaitan: Hospital Putrajaya buat laporan polis video artis jejas imej petugas kesihatan

Azwan, 54, membuat permohonan maaf itu menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman Twitter miliknya.

Kelmarin, Hospital Putrajaya membuat laporan polis berhubung penularan dua video menjejaskan imej dan kredibiliti pegawai perubatan dalam mengendalikan kes Covid-19 di Balai Polis Presint 7, Putrajaya.

Laporan polis itu dibuat susulan video yang ditularkan oleh dua selebriti tanah air.

Sementara itu, Azwan berharap pihak Hospital Putrajaya bersikap terbuka menerima permohonan maaf itu dan berjanji untuk menjamu rendang istimewa untuk pasukan perubatan hospital berkenaan.

“Semestinya Diva AA mengutip setiap hikmah yang berlaku di sebalik kejadian tidak disangka ini, sekali lagi mohon maaf kepada pengurusan Hospital Putrajaya… buang yang keruh dan ambil yang jernih.

“Dah nak dekat puasa dan raya ini kalau ada rezeki Diva AA masakkan rendang Chef Diva AA dan sedekahkan kepada pengurusan yang tersinggung dengan kata-kata Diva AA. Mohon maaf, kita ni hidup tak lama jadi di atas dunia ini jangan bagi orang dendam kepada kita!

“Harap Hospital Putrajaya bersikap terbuka dan menerima permohonan maaf ini! Kadang-kadang ada isu sedikit sensitif, Diva AA faham… semoga ini akan menjadi pengajaran kepada semua supaya lebih berhati-hati sebelum berkata,” ujarnya.

Sebelum ini, penyanyi senior Dayangku Intan telah berkongsi pengalamannya ketika berada di Hospital Putrajaya.

Video berkenaan kemudiannya dikongsikan semula oleh pengacara Azwan di Twitter yang dikatakan memburukkan pengurusan Hospital Putrajaya. – MalaysiaGazette

3 Komen

Comments are closed.