Superintendan Yusuf Shaari

KUALA LUMPUR – Polis menahan tiga individu yang cuba mengelak mengelak sekatan jalan raya polis di Pekan Lunas, Kulim, Kedah semalam berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Yusuf Shaari berkata, dalam kejadian Khamis pukul 11.15 malam, anggota Balai Polis Lunas yang terlibat dalam tugas MPV dan rondaan bermotosikal telah terserempak dengan sebuah motokar jenis Proton Iriz berwarna perak.

Katanya, tingkah laku individu itu yang mencurigakan menyebabkan anggota polis peronda berkenaan smenghampiri kenderaan tersebut.

“Ketika polis peronda memberhentikan kenderaan berkenaan untuk pemeriksaan, tiba-tiba motokar tersebut memecut melarikan diri.

“Anggota bertugas kemudian bertindak mengejar suspek dengan dibantu Jabatan Siasatan Jenayah Kulim yang ketika itu melakukan rondaan dan pemantauan Perintah Kawalan Penguatkuasaan di jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kenderaan itu berjaya ditahan di kawasan Lunas.

Menurut Yusuf,  tiga lelaki termasuk pemandu Proton Iriz ditahan atas kesalahan cuba menghalang polis daripada membuat pemeriksaan dan tangkapan.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan Iriz yang dinaiki ketiga-tiga suspek lelaki mendapati polis berjaya menemui sebilah parang berhulu kayu panjang berjenama Tramontina Brazil berukuran panjang lebih kurang 57 sentimeter.

“Kesemua ssupek yang ditahan polis telah dibawa ke balai Lunas untuk tindakan siasatan lanjut.

“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 6(1) ABKLSB kerana memiliki Barang Berjadual dan Para 7 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 2020 kerana melanggar arahan perintah PKP,” katanya. – MalaysiaGazette