Suasana selepas Subuh di kediaman Che Pah sangat mendamaikan.

Marhaba.. Alhamdulillah diam tak diam sudah hampir dua minggu kita semua menjalani perintah kawalan pergerakan (PKP).

Mula mula perintah PKP dilaksanakan, jalan depan rumah Che Pah sepi. Sunyi. Lengang. Malangnya sehingga luahan ini ditulis, Che Pah tengok jalan mula sibuk semula.

Seawal jam 6 pagi, kereta sudah memenuhi jalan. Nak ke mana saja mereka ini, kata hati Che Pah. Kedai dan pejabat semua tutup.

Ada pula yang lebih takutkan polis yang mengawal dari virus Covid-19 terutama orang Melayu. Orang Melayu rasa mereka kebal ke?

Sesungguhnya mereka ini akan hanya sedar bila ada kaum keluarga yang kena virus. Baru masa tu celik hati.

Che Pah waktu ini masih lagi di Muar. Che Pah akur perintah kerajaan untuk tidak pulang ke Putrajaya. Syukur, bila di kampung maknanya banyak kerja boleh dibuat.

Maklum di kampung, rumahnya agak luas serta punya halaman yang besar untuk dibersihkan. Maka bermulalah rutin harian Che Pah setiap hari mengikut senarai kerja yang sudah Che Pah siapkan.

Prinsip Che Pah, apa juga tugasan yang hendak dibuat esok maka pada malam harinya Che Pah akan senaraikan dalam diari. Tak perlu bebankan otak untuk ingat.

Apabila kita sudah menulis, maka insyaallah semua yang telah dirancang itulah yang akan terjadi keesokan hari. Ini kerana kita telah merakam kemas ia dalam minda separuh sedar .

Tugas utama yang Che Pah buat usai sampai ke rumah pusaka yang Che Pah gelar Rumah Tanjong ini apalagi kalau bukan mengemas ruang dalaman rumah.

Syukur kerana lockdown ini secara tidak langsung telah memberi banyak masa untuk Che Pah mengemas dengan lebih teliti.

Hiasan dalaman disusun semula. Habuk di belebas rumah, perabot dan kerusi dilap. Sawang serta habuk dibahagian siling rumah disapu.

Semua kerja ini memerlukan tenaga dan pemerhatian yang teliti. Che Pah tak buat sekaligus. Bila sudah berumur, kita harus lebih bijak merancang kerja.

Tenaga dah tak sekuat remaja umur 20an walaupun hati masih muda. Semangat masih membara. Namun kita harus sesuaikan dengan keupayaan fizikal kita.

Selesai mengemas bahagian dalam rumah, Che Pah teruskan pula membersih halaman. Ini part yang paling Che Pah suka.

Kala membersih halaman Che Pah praktikkan untuk berkaki ayam. Che Pah mula seawal jam 7 pagi.

 

Biasakan kaki kita memijak tanah dan embun pada rumput di awal pagi. Ini petua orang tua tua dulu. Tanah juga banyak membantu dalam memberi tenaga positif kepada tubuh serta nyah cas tenaga negatif dalam tubuh yang diakibatkan oleh penggunaan telefon pintar dan sebagainya.

Cubalah. Rasakan kesejukan embun kala telapak kaki mula memijak ke bumi. Rasakan lembutnya tanah. Insyaallah selepas itu badan terasa sangat segar.

Ada juga pendapat Che Pah dengar yang mengatakan kita akan panjang umur jika sentiasa berulit dengan tanah. Pijak tanah, pegang tanah dan bau harumnya tanah.

Ini kerana kita dan tanah itu satu. Tak berpisah. Bukankah kita juga dibuat dari tanah, hidup atas tanah dan bakal dikembali ke dalam tanah juga.

Cuba tengok orang tua dulu dulu. Buat sawah, pergi ke kebun dan berjalan semua berkaki ayam Jarang mereka sakit. Panjang umur lagi adalah.

Di halaman Rumah Tanjong, Che Pah tanam pelbagai jenis pokok bunga. Ada pokok kemuning, cempaka dan akar dani.

Ketiga tiga pokok ini akan mengeluarkan bunga yang sangat harum terutama di sebelah malam. Akar dani dan cempaka ini pokok yang melilit. Jadi Che Pah buat wakaf dan biarkan kedua dua pokok ini melilit lantas menjadi bumbung wakaf.

Che Pah suka duduk di wakaf ini waktu petang ataupun malam sambil merasa angin malam yang mengelus lembut rambut ikal mayang Che Pah ni.

Waktu inilah pelbagai idea timbul untuk menulis. Semua itu akan Che Pah catat dalam diari. Kalau tidak, harus lupa. Maklum umur pun dah remaja purba.

Selain pokok bunga bungaan, Che Pah tanam beberapa pokok yang berdaun lebat. Tujuannya ialah untuk menjadi tempat burung membuat sarang dan berteduh.

Alhamdulillah usaha Che Pah berhasil. Kini banyak burung membuat sarang di pokok pokok sekeliling Rumah Tanjong. Setiap masa, Che Pah akan dihiburkan dengan pelbagai jenis kicauan burung.

Ini Che Pah anggap satu terapi yang baik untuk diri. Tenang kala mendengar mereka berkicau. Macam macam burung ada. Ada tekukur, merbuk, nuri dan pipit.

Setiap pagi, Che Pah akan tabur sekoi di depan rumah untuk burung burung ini. Mereka seperti sudah tahu. Sampai time mereka tunggu di tempat yang Che Pah selalu tabur makan.

Haiwan ini sebenarnya dapat merasakan kasih sayang yang ada dalam hati kita. Mereka juga tahu jika kita berniat buruk terhadap mereka.

Jiran belakang rumah Che Pah umpamanya. Dia ada membela beberapa ekor lembu. Che Pah perhatikan setiap kali kala melepaskan atau memanggil balik lembu masuk ke kandang, dia pasti terpaksa mengejar lembu tersebut.

Geli hati Che Pah lihat perlakuan dia. Siapa yang lembu ya, getus hati Che Pah. Haiwan ini kita tak perlu pukul atau kejar. Cukup kita hampiri dengan kasih sayang.

Lembu jiran Che Pah selalu singgah di Rumah Tanjong. Tujuan mereka satu. Nak makan buah mangga yang banyak jatuh ke tanah.

Acapkali juga Che Pah suapkan buah mangga ke mulut mereka. Tak perlu kejar. Tak perlu pukul. Cukup dengan panggil dan usap kepala dia. Insyaallah lembutlah dia dengan kita.

Kasih sayang itu sebenarnya penting dalam hidup. Begitulah juga antara kita sesama manusia.

Dek kerana sayanglah maka kerajaan minta kita duduk diam diam dalam rumah. Keluar hanya bila perlu. Tak payahlah buat kenduri. Bukan wajib pun.

Tak perlulah duduk membawang di pangkin bawah pokok ceri ramai ramai. Tambahkan dosa. Lebih baik duduk dalam rumah dan mengaji.

Ambil tahu anak remaja kita hendak ke mana. Pantau pergerakan mereka. Kita sedang dalam situasi getir. Kerajaan beri cuti bukan untuk berhari raya.

Usah marah jika pihak berkuasa terpaksa berkeras. Mereka sayangkan kita. Mereka mahu kita selamat.

Bukankah kaedahnya sama dengan leteran Emak dan garangnya Ayah itu kerana sayangkan kita. Jadi kalau dah degil sangat, Che Pah setuju jika Abang Polis rotan remaja yang masih ingkar dan duduk berkumpul di simpang jalan waktu perintah lockdown ini.

Kasi mereka ingat. Ini bukan waktu suka suka. Kita sedang berhadapan dengan situasi yang kita tak tahu dimana penghujungnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Alhamdulillah.. Walau PM sebut cik kiah dlm pengumuman bantuan smalam Che Pah x terasa hati sbb yg disebut cik kiah tp yg dapat semua dapat. ChePah, CikNab, CikMon, CiMilah, CikDah semua makcik la dapat.. hehe

Comments are closed.