Pemangku Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPIEM), Parihah Hasan

KUALA LUMPUR – Seramai 21,000 orang pemegang akaun gadaian Ar Rahnu Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di seluruh negara boleh menarik nafas lega apabila YaPEIM membenarkan pengecualian bayaran upah simpan dan penangguhan penebusan barang gadaian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan berkata, moratorium itu adalah bagi gadaian yang mencapai tempoh 10 bulan dan ia dibuat berikutan penutupan cawangan Ar Rahnu YaPEIM di seluruh negara.

Bagaimanapun jelas beliau, penggadai perlu mematuhi terma dan syarat yang ditetapkan iaitu membuat tebusan atau menukar surat gadaian dalam tempoh seminggu atau 7 hari bekerja selepas arahan kerajaan tamat.

“Moratorium ini melibatkan 21,000 penggadai di seluruh negara dengan jumlah pengecualian bayaran upah simpan sebanyak RM500,000. Mereka tidak perlu bimbang kerana barang kemas mereka tidak akan lebur, hanya perlu datang ke cawangan Ar Rahnu yang terdekat untuk membuat tukaran surat gadaian bermula 15 hingga 23 April nanti iaitu selepas tempoh PKP tamat,” katanya hari ini.

Dalam pada itu Parihah memberitahu moratorium tersebut dilaksanakan di bawah Pakej MusaadahCOVID19 Ar Rahnu YaPEIM selaras dengan hasrat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast