Kumpulan pakar dalam penghasilan perisai pelindung muka untuk barisan hadapan di UPM.

SERDANG – Kumpulan pakar dan sukarelawan Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menghasilkan 5,000 pelindung muka untuk keperluan petugas barisan hadapan di hospital yang terletak berhampiran universiti itu untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

Ketua kumpulan tersebut, Prof. Madya Dr. Samsuzana Abd. Aziz ia akan siap dalam tempoh dua minggu dengan kelengkapan pencetak 3D baharu dan tambahan tenaga sukarelawan untuk keperluan Pusat Kesihatan UPM, Hospital Pengajar UPM dan Hospital Serdang.

“Kami mampu menghasilkan 200 pelindung muka sehari menggunakan 13 pencetak 3D. Antara jenis pencetak 3D termasuk jenis DIY seperti Creality Ender 3, Zotrax dan 4Max Pro, serta pencetak 3D ketahanan tinggi seperti Ultimaker.

“Kos pelindung muka UPM ini ialah antara RM1.50 hingga RM2.50 seunit. Bahan mentah yang digunakan adalah filament PLA untuk percetakan 3D, plastik lutsinar dan getah.

“Pakar-pakar UPM juga menitikberatkan reka bentuk yang memenuhi keperluan perlindungan terbaik kerana ujian ketahanan, keberkesanan dan reka bentuk telah dijalankan di beberapa hospital dengan bantuan maklum balas pengguna oleh pihak NGO,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Dekan Fakulti Kejuruteraan, Prof. Ir. Dr. Nor Kamariah Nordin berkata, pihaknya menerima dana UPM sebanyak RM6,000 untuk membeli bahan mentah, selain sumbangan dana lain dan peralatan asas oleh Jabatan Pangajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, NGO termasuk Malaysian Maker & 3D Printing Communities, Makers@University dan orang awam.

Menurut beliau, usaha murni berkenaan adalah sebagai tanggungjawab sosial akdemia UPM kepada petugas barisan hadapan menangani wabak Covid-19.

Jejasnya, kumpulan itu turut dibantu oleh Dr Saiful Hasley Ramli yang mengetuai makmal Fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina; Ketua Pegawai Eksekutif Longe Medikal Sdn Bhd, Muhammad Izzat Sabri iaitu syarikat startup bimbingan InnoHub Putra Science Park UPM bagi mengkomersilkan teknologi dan inovasi UPM dalam bidang perubatan dan Timbalan Pengarah Putra Science Park UPM, Profesor Madya Dr Wan Nurhayati Wan Ab. Rahman,.

“Saya juga menyeru sumbangan pihak luar yang ingin membantu kami dari segi panghantaran dan penyampaian perisai muka kepada hospital-hospital.

“Untuk projek selepas ini, kami mensasarkan untuk merekabentuk peralatan peralatan perlindungan diri (PPE) seperti ventilator valve dan kotak saringan Covid-19 kegunaan petugas barisan hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette