Pemantauan menggunakan dron di Kampung Sungai Lui, Hulu Langat adalah langkah paling terbaik memudahkan operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung penularan Covid-19.

KUALA LUMPUR – Pemantauan menggunakan dron di Kampung Sungai Lui, Hulu Langat adalah langkah paling terbaik memudahkan operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung penularan Covid-19.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kaedah pemantauan udara itu membolehkan anak-anak buahnya yang terlibat tugas ‘menjaga’ 24 jam di kawasan zon merah itu supaya memahami keadaan muka bumi selain kedudukan geografi pola penempatan perumahan penduduk.

“Ia akan memudahkan anak buah saya yang terlibat tugas di sini menjalankan pemantauan keselamatan dan pergerakan penduduk menerusi menguatkuasakan PKPD sepenuhnya tanpa sebarang masalah sehingga 14 April ini.

“Ia termasuklah akses kebajikan segera, lokasi terletaknya rumah-rumah penduduk selain boleh mengawasi pergerakan mereka setiap masa supaya tidak menceroboh penguatkuasaan,” katanya selepas turun padang memantau sendiri di kawasan berkenaan.

Menurut Abdul Hamid, beliau berpuas hati tahap kesiapsiagaan dan tugas pemantauan yang telah dilaksanakan polis setakat ini sejak PKPD dilaksanakan.

Katanya, pemantauan beliau adalah untuk memastikan bahawa PKPD dilaksanakan dan pergerakan penduduk disekat 100 peratus di perkampungan itu demi menyelamatkan nyawa dan meredakan keadaan kembali pulih seperti asal.

“Saya puas hati dengan tahap kesiapsiagaan anggota saya yang berkawal di kedua-dua pintu masuk iaitu di sini Jalan ke Semenyih dan Jalan ke Jelebu pun ditutup 100 peratus.

“Kini kami cuma menunggu agensi lain yang akan membawa bekalan makanan oleh kebajikan serta pemeriksaan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  di perkampungan ini nanti.

“Konsep penguatkuasaan PKPD adalah sama seperti dilaksanakan di Simpang Renggam yang mana semuanya berjalan secara teratur penguatkuasaan serta penjagaan kesihatan penduduk di sana.

“Jadi, kami nak proses template sama di Simpang Renggam itu dilaksanakan sepenuhnya di perkampungan Sungai Lui ini,” ujarnya.

Justeru katanya, dewan yang ada di kampung berkenaan akan digunakan sebagai markas pengumpulan dan pengagihan makanan dan barag keperluan untuk penduduk di situ manakala bilik gerakan polis dan tentera sudah siap di kawasan berhampirannya.

“Saya jangkakan proses ini (penyahkuman dan pemeriksaan kesihatan) makan masa seminggu itupun bergantung kepada KKM. Maka saya berharap semua orang di sini bersabar yang bekerjasama kepada pihak berkuasa yang berusaha gigih memerangi Covid-19 sepenuhnya.

“Setakat ini, penduduk memahami situasi getir dan objektif sekatan ini dan mula memberi kerjasama kepada anggota polis,” tegasnya sambil menjelaskan lebih 50 pegawai dan anggota PDRM telah ditempatkan di sekatan jalan raya kedua dua laluan masuk perkampungan itu.

Pada Ahad semalam, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD di kampung berkenaan selepas KKM mengesahkan 71 orang daripada 274 pelajar Maahad Tahfiz AnNabawiyyah di Batu 23 Sungai Lui disahkan positif Covid-19.

Penguatkuasaan KPKD berkenaan melibatkan 3,918 orang daripda 700 rumah di lima kampung dan dua penempatan Orang Asli.- MalaysiaGazette