Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang menegaskan gambar dan rakaman audio tular adalah palsu.

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan gambar dan audio tular seorang individu dicederakan anggotanya dalam penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang menegaskan gambar dan rakaman audio itu adalah palsu.

“Semua pihak diminta berhenti menyebarkannya serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rakaman audio palsu dan gambar yang tular adalah seperti berikut:

Aaaa…tengok tu gambar tu, ni askar punya kerja ni, kau tengok tu. Budak ni keluar telefon tepi padang, malam tadi dekat Kampung Jerat Baru. Aaaaa…dorang dapat dorang belasah terus..tengok tu..birat-birat tu.”

Sementara itu, gambar yang tular dikaitkan dengan rakaman audio diambil daripada sumber hantaran media sosial dari Chittagong, Bangladesh bertarikh 17 Julai 2019.

Justeru, Affendi menasihati mana-mana individu yang didapati menyebarkan berita palsu boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

“Orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang berita yang boleh mencetuskan kebimbangan di kalangan masyarakat,” katanya.- MalaysiaGazette