Tomok

KUALA LUMPUR – Penyanyi Tomok memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia atas kenyataannya berhubung bantuan terhadap anak seni sebelum ini.

Menerusi Instagram (IG) miliknya, Tomok berkata, sebagai manusia biasa dia juga tidak lari daripada melakukan kesilapan.

“Untuk tidak menjadikan keadaan semakin buruk saya ingin meminta maaf kepada semua rakyat Malaysia.

“Maaf sekiranya kenyataan saya di IG tempoh hari ada menyakiti hati kalian. Saya juga manusia biasa yang tidak lari dari melakukan kesilapan.

“Maafkan saya semua. Marilah kita sama-sama doakan semoga negara kita dan dunia bebas daripada Covid-19,” katanya.

Rabu lalu, Tomok menerusi status dimuat naik di IG berkata, golongan anak seni juga tidak terkecuali daripada menerima tamparan hebat susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang segala aktiviti seni tidak kira penyanyi, pelakon, pemuzik, kru penerbitan, produksi drama atau filem semuanya terjejas, ditunda atau terpaksa di batalkan.

Menurut Tomok, perkara itu memberikan impak yang besar pada mereka yang mana kebanyakan anak seni dan penggiat seni menjadikan bidang ini sebagai sumber pendapatan mereka.

Menerusi kenyataan sama, Tomok berkata, tidak terkecuali artis senior tanah air yang kurang bernasib baik.

Bagaimanapun, status Tomok itu diperdebatkan dalam kalangan netizen yang menyifatkan artis tidak sepatutnya memohon bantuan khusus. – MalaysiaGazette