KUALA LUMPUR – Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) melancarkan bilik pameran dalam talian untuk rakyat Malaysia yang ingin membeli Volkswagen.

Dalam satu kenyataan, katanya langkah itu sebagai reaksi kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan apabila semua kedai pengedar Volkswagen di seluruh negara telah ditutup untuk memastikan keselamatan pelanggan dan pekerjanya.

Dengan konsep membawa ‘pengedar’ terus kepada pelanggan, ePameran Volkswagen menawarkan tawaran istimewa dalam talian kepada pembeli yang terpaksa menangguhkan pembelian kereta Volkswagen dan tawaran eksklusif itu juga boleh didapati di kedai utamanya di Lazada.

Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter berkata, syarikat bersetuju dengan usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 dengan menjadikan keselamatan pelanggan dan pekerjanya sebagai satu keutamaan.

“Penting bagi kita semua memainkan peranan masing-masing untuk menangani pandemik global ini. ePameran Volkswagen diwujudkan untuk menawarkan penyelesaian alternatif kepada pelanggan kami yang masih berminat untuk membeli Volkswagen semasa PKP ini, dengan tawaran menarik yang kami yakin akan memudahkan proses pembelian untuk pelanggan kami,” katanya.

Bagi bulan April, ePameran Volkswagen dan kedai rasmi utamanya di Lazada menawarkan tawaran lebih baik dan penjimatan tambahan sehingga RM8,000. – MalaysiaGazette