Suasana kesesakan jalan raya di Jalan Jambatan Kota, Klang, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 01 APRIL 2020

KLANG – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa kedua, hari ini menyaksikan banyak sekatan jalan dan penutupan jalan dilakukan oleh pihak berkuasa di sekitar bandar DiRaja, di sini.

Tinjauan MalaysiaGazette hari ini mendapati Jalan Jambatan Kota yang menghala ke Shah Alam berlaku kesesakan lebih 5 kilometer dari Bulatan Simpang Lima, di sini, sejak jam 8 pagi tadi.

Aliran trafik di Jambatan Kota semakin sesak apabila semakin banyak kenderaan menuju ke jalan utama itu melalui Lorong Perbandaran di hadapan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Kebanyakan kenderaan yang melalui Jalan Jambatan Kota didapati merupakan kereta persendirian dan pelbagai alasan diberikan apabila ditahan pihak polis.

Antara alasan yang tidak munasabah diberikan orang ramai ialah ada yang ingin mencari kawan, mahu pergi ke bengkel cari alat ganti kereta dan menghantar makanan kepada adik-beradik.

Memandangkan Jalan Jambatan Kota berdekatan dengan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), ada juga yang memberi alasan baru balik dari hospital tersebut kerana temu janji dan mengambil ubat.

Sepanjang tempoh PKP Fasa Kedua yang berkuasa dari 1 April hingga 14 April ini, kenderaan persendirian hanya dibenarkan keluar antara jam 6.00 pagi sehingga 10.00 malam, termasuk perkhidmatan e-Hailing dan teksi. – MalaysiaGazette