SHAH ALAM – Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu, sehingga hari ini, tidak ada anggota polis Selangor yang menjalankan tugas di sekatan jalan raya dan rondaan positif wabak Covid-19.
Sebaliknya, ada 42 kes melibatkan empat pegawai kanan polis, 37 pegawai rendah dan seorang penjawat awam sedang dirawat dan dikuarantin.
Menurut jurucakap Ketua Polis Selangor, Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard negeri, Asisten Komisioner Mohd Ismail Muslim, mereka bertugas 24 jam berjumpa dengan orang ramai semasa bertugas.
“Setakat ini tak ada yang positif Covid-19, cuma kita ada anggota yang sedang dirawat, dikuarantin. Jumlahnya tak besar, hanya 42 orang melibatkan empat pegawai kanan polis, 37 pegawai rendah dan satu kakitangan awam.
“Tidak ada kes positif melibatkan polis walaupun pegawai kita terdedah kepada wabak ini kerana bertugas 24 jam berjumpa dengan semua orang ramai semasa bertugas,” katanya pada sidang media khas di Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Mengenai sekatan jalan raya, Mohd Ismail berkata, terdapat empat atau lima sekatan di setiap daerah diadakan sejak PKP pertama berkuatkuasa daripada 18 Mac hingga 31 Mac dan jumlahnya bertambah untuk tempoh PKP fasa kedua daripada 1 April hingga 14 April ini.
Ujar beliau, Selangor mempunyai 16 daerah dan setiap sekatan jalan yang diadakan, pihaknya menyediakan laluan khas untuk kenderaan Bomba dan Penyelamat serta ambulans.
Setakat ini, katanya, pihaknya membuat penambahan sekatan khusus di laluan keluar ke lebuh raya bagi mengelakkan dan mengurangkan pergerakan dari satu negeri ke satu negeri.
“Di tengah lebuh raya pun kita buat sekatan, umpamanya di Plaza Tol Bentong. Kita adakan sekatan untuk orang ramai yang mahu melepasi Selangor ke Pahang.
“Jadi, banyak kita tambah (sekatan) di laluan lebuh raya, di samping jalan negeri dan banyak juga jalan alternatif yang kita tutup dan kita uar-uarkan kepada orang ramai supaya mengehadkan pergerakan mereka,” katanya.
Berhubung rungutan orang ramai dengan peraturan ketat dikenakan seperti mengemukakan bil eletrik dan air sebagai bukti tempat tinggal, Mohd Ismail berkata, anggota keselamatan menjalankan tugas mengikut Peraturan Kawalan Penyakit Berjangkit yang baru diwartakan bawah Peraturan 9.
Kata beliau, menerusi peraturan itu, ada menyebut anggota polis boleh mendapatkan maklumat mengenai pergerakan orang ramai sepanjang penguatkuasaan PKP dua dilaksanakan.
“Ini sebagai maklumat untuk mengesahkan tempat mereka tinggal, kerana ada dalam kalangan orang ramai memberi maklumat tidak tepat dengan alasan dari daerah tertentu hendak pulang ke rumah.
“Cara hendak pastikan mereka tidak berdolak dalik, kita dapatkan maklumat tambahan seperti pengesahan bil elektrik dan air. Pengesahan ini membolehkan pihak berkuasa pertimbangkan,” katanya. – MalaysiaGazette