Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Meskipun Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah mengeluarkan kenyataan semakan terhadap Bantuan Prihatin Nasional (BPN) boleh dibuat pada bila-bila masa sebelum 30 April ini, laman web agensi tersebut sukar untuk diakses.

Ini disebabkan oleh peningkatan luar biasa aliran trafik yang melayari laman web berkenaan.

Menurut Azidan Hadi, 32, beliau berjaya menembusi laman web tersebut pada kira-kira jam 4 pagi tadi.

Katanya, sejak petang semalam beliau telah berkali-kali mencuba untuk mengakses laman web LHDN itu namun gagal.

“Saya tidak ingat berapa jam mencuba kerana bukanlah fokus terhadap laman web itu semata-mata cuma saya akan pergi ke laman web LHDN sambil buat kerja lain.

“Akhirnya pada jam 4 pagi tadi saya berjaya juga mengakses laman web tersebut dan membuat semakan. Mungkin berkat waktu tahajud,” guraunya.

Azidan yang merupakan seorang penyelia kilang di Shah Alam, Selangor bersyukur kerana BPN sebanyak RM1,000 itu dapat mengurangkan beban beliau sekeluarga.

Manakala Noor Ain Majid dari Maran, Pahang pula berkata, sehingga ke saat berita ini ditulis, beliau masih belum dapat mengakses laman web LHDN.

Katanya, beliau perlu membuat beberapa urusan penting bagi pihak keluarga untuk memastikan BPN dapat diterima.

Beliau yang merupakan seorang suri rumah berkata, perlu membuat semakan status selain membantu bapa mertuanya mendaftar BPN.

Sebelum ini, bapa mertuanya merupakan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagaimanapun, namanya tidak termasuk dalam senarai Bantuan Sara Hidup (BSH) selepas itu.

“Orang tua biasalah, jika nama tidak disenaraikan, dia bukan mahu berbuat apa-apa.

“Tetapi kali ini, kami merasakan beliau perlu mendapat BPN jadi, kami usahakan untuk mendaftarkan namanya kembali kerana berdasarkan pendapatan bulannya yang tidak menentu, saya rasa dia layak menerima bantuan tersebut,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut Noor Ain, beliau cuba mengakses laman web tersebut pada waktu bukan puncak iaitu jam 2 pagi namun masih gagal.

Kira-kira jam 8 pagi tadi, percubaannya sudah 50 peratus berhasil apabila berjaya menembusi laman web tersebut sebelum ia tergendala ketika cuba memasukkan kod pengesahan.

“Ada masa langsung tidak boleh akses. Ada masa boleh masuk tetapi tergendala. Perlu sentiasa refresh tetapi tidak mengapalah kerana walau apa-pun, masih banyak masa lagi. Nanti saya cuba lagi,” tambahnya.

Bagi Hanizah Hambali yang berada di Kota Kinabalu, Sabah, beliau agak bernasib baik kerana hanya membuat percubaan selama sejam sebelum berjaya menyemak status BPN.

“Saya tahu laman web sibuk tetapi saya sengaja cuba-cuba. Memang sukar untuk menembusi laman web tersebut, selalu sangat tergendala sehingga rasa putus asa.

“Tetapi akhirnya selepas sejam saya berjaya juga.

“Bila dengar pengalaman orang lain yang terpaksa mencuba selama berjam-jam tetapi masih belum berjaya, baru saya sedar yang sebenarnya saya di antara yang bertuah,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

BPN adalah bantuan yang diberikan kepada rakyat sejajar dengan pengumuman kerajaan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin, minggu lepas.

Ia melibatkan bantuan wang tunai bernilai RM1,600 sehingga RM500 mengikut pendapatan isi rumah dan individu yang layak.- MalaysiaGazette