foto - Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR – Pengusaha bas sekolah kini dalam keadaan tersepit kerana tidak memiliki pendapatan tetap berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melanjutkan tempoh cuti sekolah.

Dalam masa yang sama mereka belum menerima bayaran tambang untuk bulan April.

Berikutan itu, kebanyakan pengusaha bas sekolah berat hati jika ada ibu bapa yang memohon agar tambang dikurangkan.

Presiden Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (GPBSM), Mohd Rofik Mohd Yusof berkata, umum mengetahui para pengusaha bas bergantung sepenuhnya kepada bayaran yuran sebagai sumber pendapatan mereka.

Pelaksanaan PKP ini sudah tentu menyebabkan pendapatan mereka terjejas.

“Pengusaha tidak ada pendapatan lain hanya bergantung tambang bas sekolah.

”Ibu bapa masih ada gaji semasa PKP, gaji tetap jalan, pengusaha tidak, mereka betul-betul bergantung dengan tambang bas sekolah. Minta ibu bapa lebih rasional saling bantu-membantu, tak usahlah berkira sangat,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambahnya, tambang yang ditetapkan telah dipersetujui kedua-dua pihak berdasarkan perkhidmatan menghantar selama 11 bulan tempoh persekolahan anak-anak kecuali musim cuti.

Justeru pertikaian tentang perkara ini disifatkan Rofik sebagai tidak wajar untuk dibangkitkan, apatah lagi tiada seorang yang menjangkakan Covid-19 akan menular dalam negara seterusnya mengakibatkan kerajaan menguatkuasakan PKP sebagai inisiatif membendung wabak tersebut.

Tidak adil untuknya memberikan apa-apa jaminan kepada kedua-dua pihak, namun beliau tidak menghalang mana-mana ibu bapa yang ingin berbincang dengan pemandu bas sekolah anak masing-masing demi mencapai penyelesaian yang dianggapnya situasi menang-menang.

“Kalau minta diskaun terpulang pengusaha sama ada mereka boleh beri atau tidak saya berada di tengah-tengah, saya juga faham ibu bapa saya juga faham keadaan pengusaha,”katanya lagi.

MalaysiaGazette terdahulu menerima pertanyaan daripada pembaca yang bertanyakan tentang kos pengangkutan bas sekolah untuk bulan April memandangkan PKP dilanjutkan sehingga 14 April ini. – MalaysiaGazette