SELAMA 11 hari terpaksa ‘berkurung’ di sebuah bilik pengasingan di Hospital Sungai Buloh akibat dijangkiti virus Covid-19 adalah pengalaman yang tak mungkin dapat dilupakannya sampai bila-bila.
Bagi Reza Huzairi, tekanan dan kemurungan yang dihadapinya dalam tempoh tersebut bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilaluinya.
Apatah lagi mengenangkan isteri dan anak-anaknya di rumah mereka. Dia bimbang seandainya virus itu menjangkiti mereka, juga seandainya menjangkiti rakan-rakan setugasnya yang lain.
Kata Reza, bila ‘dikunci’ 24 jam selama 11 hari di dalam bilik itu, perasan yang datang dan menerpa itu bukanlah satu perkara yang boleh dibuat main-main.
“Saya selalu bersangka baik kepada Allah dan yakin apa yang jadi ini, pasti ada hikmahnya. Selama 11 hari, saya meneruskan kerja pejabat seperti biasa walaupun di dalam wad. Saya tak mahu peduli sangat rasa itu.
“Cuma sesekali, badan terasa letih. Mungkin antibodi sedang bekerja. Jika itu terjadi, saya perlu berehat. Alhamdulillah kesihatan saya okay dan tidak mempunyai simptom yang teruk,” kata Reza.
Dia bersyukur kepada Allah kerana akhirnya dibenarkan keluar daripada wad pada 14 Mac lalu setelah dua kali ujian yang dibuat mendapati dia bebas daripada virus berbahaya berkenaan.
Walaupun begitu, Reza masih menghadirkan diri untuk temujanji di hospital tersebut bagi diperiksa tahap kesihatannya.
Namun hujung bulan bulan lalu, doktor menghubunginya memaklumkan yang dia diberi pilihan sekiranya mahu menjadi penderma plasma darah dan dia adalah bekas pesakit pertama di negara ini sekiranya bersetuju untuk berbuat demikian!
Menurut Reza, plasma yang didermakan ini sekiranya berjaya, bakal digunakan sebagai serum untuk rawatan COVID-19.
“Saya rasa bangga dan bersyukur, Allah gantikan kesedihan saya pada 2020 ini dengan peluang membantu pesakit-pesakit COVID-19 sembuh dengan cepat menerusi pendermaan plasma darah ini.
“Cuma saya dimaklumkan untuk sekali derma, jumlah yang diambil daripada darah saya mungkin hanya boleh digunakan untuk beberapa orang pesakit sahaja. Sedih juga, oleh itu dua minggu lagi saya akan datang dan cuba menderma lagi.
“Jikalau kaedah ini berkesan, mungkin ramai lagi bekas pesakit akan dipanggil untuk melakukan perkara yang sama,” kata Reza yang menceritakan pengalaman peribadinya itu dalam akaun Facebook miliknya.
Untuk rekod, Kementerian Kesihatan sebelum ini ada mengatakan akan meneliti segala kaedah dan rawatan baharu bagi memulihkan pesakit COVID-19 di negara ini.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, penelitian berkenaan termasuk kaedah rawatan yang digunakan di China.
Katanya, hal berkenaan ada dibincangkan oleh kumpulannya menerusi telesidang yang diadakan sebelum ini.
Beliau berkata, antara kaedah dan rawatan dilakukan di China ialah menggunakan plasma darah pesakit yang sudah sembuh untuk mengubati pesakit yang dijangkiti.
“Berkenaan penggunaan plasma darah, kaedah berkenaan memerlukan mesin khas, iaitu plasma daripada darah pesakit yang sudah pulih boleh digunakan kembali.
“Bagaimanapun, kita masih tidak pasti sama ada kaedah ini betul-betul berjaya. Jadi buat masa sekarang kita kena dengar pengalaman mereka kerana mereka sudah lakukannya,” katanya.
Sementara itu Reza memberitahu, dia dimaklumkan terpilih sebagai penderma plasma berkenaan setelah dimaklumkan yang dia bebas daripada sebarang penyakit kronik dan tidak mengambil ubat yang perlu digunakan dalam masa yang panjang.
“Apapun saya berdoa agar kajian ini berjaya dan kita dapat menolong lebih ramai pesakit COVID-19 yang masih berada di hospital terutama yang berada pada tahap kritikal.
“Akhir kata saya berdoa agar semua yang saya kenal di sini dan juga di luar sana agar sentiasa dilindungi daripada wabak ini. Semoga wabak ini juga segera berlalu pergi. Insha Allah,” katanya.
Syabas Reza! – Malaysia Gazette.