KUALA LUMPUR – Para peniaga di Pasar Borong Selayang didapati gagal mematuhi arahan dan garis panduan berkaitan pencegahan Covid-19 yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Kebanyakan mereka didapati tidak memakai penutup mulut dan hidung dan sarung tangan serta tidak melaksanakan penjarakkan sosial dengan betul.
Selain itu, tiada cecair pembasmi kuman diletakkan di gerai-gerai jualan.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan sri Annuar Musa berkata, pelanggaran itu disaksikan sendiri olehnya ketika melakukan lawatan mengejut di pasar berkenaan.
”Tinjauan saya secara mengejut di tempat pemunggahan lori dan di dalam pasar, komen saya tahap pematuhan para peniaga adalah tidak memuaskan,” katanya.
Serentak itu, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Pusat Pengurusan Krisis supaya langkah-langkah yang digariskan oleh KKM dipatuhi.
Ia termasuk mewujudkan booth disinfeksi di pasar berkenaan supaya orang ramai akan membersihkan diri masing-masing sebelum keluar dari pasar berkenaan.
Menurut beliau, operasi Pasar Borong telah dibenarkan berjalan seperti biasa selepas diberi pertimbangan oleh Jawatankuasa Petugas Khas Covid-19 selepas mendapat rayuan daripada penanam sayur, orang ramai dan para peniaga.
Pasar itu dibenarkan beroperasi mulai dari jam 4 pagi hingga 12 tengah hari sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan ini. – MalaysiaGazette
Knapa perlu diswastakan pasar borong?
Sebab tu susah nak kawal