KUALA LUMPUR – Seorang penjual burger food truck yang sudah 13 tahun berkecimpung dalam perniagaan ini berkebolehan menghasilkan sebanyak 120 jenis burger.
Mohd Kosim Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan Adam, 29, yang berasal dari Kampung Batu Berendam, Jeram Linang, Pasir Puteh, Kelantan menjadikan pengalamannya menjual burger untuk mempelbagaikan jenis burgernya.
Pemilik jenama Burgerboy yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) itu tidak lokek apabila memberitahu dia menggunakan 10 jenis sos untuk menambah perisa burger yang dihasilkan, selain penggunaan daging dan roti berkualiti tinggi.
Meskipun menggunakan bahan yang banyak dalam menghasilkan makanan itu, namun harga yang ditawarkan sama seperti peniaga lain.
Menceritakan mengenai liku-liku dalam perniagaannya, Adam berkata, dia telah mengusahakan perniagaan burger sejak berusia 19 tahun dan kini berbangga kerana memiliki jenama burgernya sendiri.
Meskipun mengakui belum lagi mampu untuk menghasilkan produk makanan segera keluarannya, namun, dia menjadikan pemilikan jenama Burgerboy untuk meneroka peluang ke arah itu.
“Kalau ada rezeki saya hendak buka cawangan. Setakat ini saya buat konsep pasar malam dulu,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.
Adam berkata, dia mengeluarkan modal sebanyak RM30,000 untuk memulakan perniagaan secara bergerak menggunakan food truck di PJU 5/3, di Kota Damansara.
Katanya, modal tersebut diperoleh hasil daripada simpanannya sendiri setelah tidak mendapat pembiayaan daripada mana-mana institusi dan agensi kewangan.
Dia juga mampu menggajikan dua orang pekerja untuk membantu bisnesnya yang bermula dari pukul 2 petang hingga 2 pagi pada setiap hari.
Bercakap mengenai kelainan pada burger yang dijual, Adam berkata, dia sentiasa ingat akan pesan ibu dan ayahnya iaitu jangan kedekut dalam berniaga dan sentiasa berniat untuk membantu orang lain.
Oleh itu, dia akan mengasingkan keuntungan perniagaannya untuk disedekahkan kepada beberapa rumah anak yatim di sekitar Lembah Klang.
“Setiap bulan sebahagian untung akan saya agih kepada anak yatim Selangor. Semua itu ada saya masukkan dalam Facebook saya. Saya bagi duit bagi makanan, itu saja kerja amal yang mampu saya buat pada masa ini,” ujarnya.
Katanya lagi, dia sendiri meletakkan tanggungjawab untuk membantu kira-kira 3,000 anak yatim dengan menggunakan perbelanjaan daripada keuntungan dan juga sumbangan daripada rakan-rakan di laman sosialnya.
Tambah beliau, dia akan menjadikan perkara itu sebagai satu tanggungjawab kerana percaya berkat daripada membantu orang akan menghasilkan kejayaan berpanjangan. – MalaysiaGazette