Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal. foto FAREEZ FADZIL, 22 MAC 2020

PETALING JAYA – Tidak sampai lima jam membunuh sahabat zaman persekolahannya, suspek yang menyorok di sebuah apartmen di Klang Utara ditahan polis pagi ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, individu berusia 26 tahun itu diburu sebagai suspek utama kes bunuh di Damansara Damai berjaya ditangkap pada jam 6 pagi oleh sepasukan polis dari Petaling Jaya.

“Polis telah membuat serbuan di sebuah rumah apartmen di Kapar, Klang Utara dan suspek utama yang bersembunyi di dalam rumah berjaya ditangkap dan dia dikenalpasti sebagai sahabat lama si mati sejak zaman persekolahan lagi.

“Polis terdahulu menerima panggilan Mers 999 jam 1.20 pagi memberikan maklumat tentang kes bunuh diri di sebuah rumah pangsapuri di Bandar Saujana Damansara, Damansara Damai.

“Polis menjalankan siasatan awal ke atas mangsa serta tempat kejadian sebelum mendapati wujud unsur-unsur jenayah dan mangsa G Puspanathan, 25, ditemui dalam keadaan berlumuran darah di kawasan tangga di tingkat dua pangsapuri berkenaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Polis PJ mengusung keluar mayat seornag juruteknik muda yang disyaki dibunuh rakan kenalan sekolah sendiri dalam kejadian di Damansara Damai awal pagi hari ini

Ujarnya, hasil siasatan di lokasi mendapati mangsa yang merupakan seorang juruteknik mengalami kecederaan di bahagian kepala dan leher.

Nik Ezanee menjelaskan, polis percaya wujud pertengkaran antara suspek dan mangsa semasa kejadian.

“Kami menjejaki suspek berdasarkan termubual awal dengan saksi-saksi awam sekitar apartmen dihuni mangsa.

“Hasil siasatan kita tidak menolak kemungkinan botol kaca digunakan sebagai senjata oleh suspek hasil daripada serpihan kaca yang berada di sekitar tempat kejadian.

mangsa G Puspanathan, 25, ditemui dalam keadaan berlumuran darah di kawasan tangga di tingkat dua pangsapuri Bandar Saujana Damansara dalam kejadian awla pagi tadi.

“Kita juga menunggu laporan bedah siasat dan kenyataan lanjut daripada suspek yang akan disoal siasat polis nanti,” katanya.

Tambah beliau kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pegawai dan anggota yang terlibat atas tindakan pantas menyelesaikan kes bunuh kurang daripada lima jam,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.