Fuziah Salleh

KUALA LUMPUR – Selepas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN), dua lagi pemimpin pembangkang turut mengakui bantuan tersebut.

Hari ini, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Fuziah Salleh dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim turut tersenarai antara rakyat Malaysia yang layak menerima bantuan berkenaan.

Dalam kenyataannya kepada media, Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan terkejut dengan dapatan semakan yang dibuat olehnya.

”Selepas tular berita berkenaan Ahli Parlimen, Menteri, isteri mantan Perdana Menteri serta mantan Timbalan Menteri yang telah menerima kelulusan BPN, maka saya terpanggil untuk membuat semakan di atas talian untuk diri sendiri.

”Dapatan saya sungguh mengejutkan kerana saya juga didapati lulus untuk menerima bantuan tersebut.

”Ingin saya jelaskan, saya bukan penerima BSH dan juga saya tidak pernah memohon untuk BPN,” katanya.

Semalam, viral berita bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar mendapat BPN yang disalurkan oleh kerajaan untuk meringankan beban rakyat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19.

Selain itu, turut dikhabar menerima BPN ialah Datin Seri Rosmah Mansor.

Fuziah berkata, persoalan timbul bagaimana namanya dan rakan sejawatannya sebelum ini boleh diluluskan dalam sistem, sedangkan mereka semua tidak layak menerima BPN.

“Kesilapan ini mungkin melibatkan lebih ramai individu lain juga.

“Memandangkan bayaran akan dibuat secara terus, saya khuatir ramai yang tidak menyemak dan tersalah terima.

“Sumber negara harus digunakan sebaik mungkin dalam keadaan memerangi Covid-19 dan kita sebagai negara tidak mampu untuk membuat kesilapan begini,” katanya.

Hassan Abdul Karim
Hassan Abdul Karim

Dalam pada itu, Hassan meminta kerajaan supaya memperbaiki sistem pembayaraan BPN.

“Saya harap kerajaan segera selamatkan wang negara berbilion ringgit dengan segera tamatkan pembayaran kepada golongan yang tak layak dibantu.

“Dalam hal ini saya seru kerajaan pusat yang ditadbir oleh Perikatan Nasional supaya bekerjasama dengan kami ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan untuk sama-sama membantu rakyat, membantu negara, memulihkan kehidupan rakyat dan memulihkan ekonomi negara dengan telus, adil, tidak tiris, tidak membazir,” katanya lagi.

BPN adalah inisiatif untuk membantu rakyat seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat bernilai RM250 bilion.

Dalam pengumuman berkenaan jumlah keseluruhan pembayaran BPN membabitkan RM9.24 bilion akan dibayar dalam dua fasa.

Bantuan secara one-off itu juga buat pertama kalinya disalurkan kepada kumpulan M40. -MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Pelik juga tu kabarnya golongan B40 dan M40 saja dapat mengapa YB ada tersenarai .LHDN kena buat siasatan perkara ini.

Comments are closed.