Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Pembayaran balik ansuran bulanan bagi perumahan sektor awam berjalan seperti biasa berikutan keputusan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) untuk tidak memberikan sebarang penangguhan atau moratorium kepada peminjam.

LPPSA dalam satu kenyataan di sini berkata, pihaknya yakin kebajikan penjawat awam telah cukup terjaga dan tiada keperluan buat masa ini untuk memberikan penangguhan tersebut.

Penjawat awam dan pesara kerajaan juga, katanya, masih tetap menerima gaji penuh dan pencen bagi menampung perbelanjaan bulanan termasuk kewajipan bayaran balik pembiayaan perumahan LPPSA.

“Sehubungan dengan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), pihak LPPSA telah menerima pertanyaan dari pelbagai pihak berkenaan kemungkinan penangguhan atau moratorium boleh diberikan kepada bayaran ansuran bulanan pembiayaan perumahan LPPSA.

“Untuk makluman, kerajaan menyediakan kemudahan pembiayaan perumahan LPPSA yang disubsidikan pada kadar faedah 4peratus. Ini adalah lebih rendah berbanding kadar pembiayaan yang ditawarkan oleh mana-mana institusi perbankan tempatan,” kata kenyataan itu lagi.

Artikel berkaitan: LPPSA wajar tangguhkan bayaran balik pinjaman

Artikel berkaitan: CUEPACS mohon penangguhan potongan pinjaman LPPSA

LPPSA juga menarik perhatian mengenai pembiayaan perumahan yang diberikan pihaknya dengan kadar faedah 4 peratus ini adalah jauh lebih rendah berbanding kos dana yang diperolehi oleh LPPSA melalui terbitan sukuk iaitu pada kadar antara 4.5 peratus hingga 5 peratus.

Katanya, sebarang moratorium atau penangguhan kepada bayaran ansuran bulanan pembiayaan akan memberi kesan kepada aliran wang tunai pihak LPPSA dan melibatkan pinjaman tambahan melebihi RM2 billion.

“LPPSA bertanggungjawab memastikan kelangsungan dan sumber kewangannya kekal utuh demi memastikan manfaat pembiayaan perumahan dapat terus disediakan kepada penjawat awam yang sedia ada dan yang akan datang,” katanya.

Artikel berkaitan: Morotorium LPPSA akan dibincang dalam Kabinet

Kebajikan penjawat awam di bawah pakej rangsangan PRIHATIN tetap menjadi salah satu keutamaan kerajaan melalui pemberian bantuan tunai seperti pembayaran RM500 secara one-off kepada lebih 1.5 juta penjawat awam bagi gred 56 dan ke bawah termasuk kakitangan kontrak serta lebih 850,000 pesara Kerajaan bermula April 2020.

Tambahan pula, bagi penjawat awam yang tergolong dalam golongan B40 dan M40, bantuan juga disediakan melalui Bantuan Prihatin Nasional (BPN) di antara RM500 sehingga RM1,600 yang akan dibayar pada April dan Mei 2020. Manakala baki bayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) akan dibayar pada bulan Julai 2020.

Justeru itu, LPPSA telah memutuskan untuk tidak memberi penangguhan atau moratorium pembayaran balik ansuran bulanan kerana masih yakin kebajikan penjawat awam telah cukup terjaga dan tiada keperluan buat masa ini.

Sebarang pertanyaan lanjut, boleh dikemukakan kepada LPPSA melalui https://etiket.lppsa.gov.my 

— MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Kepada peminjam2 @mangsa Ahlong diminta lebih berhati2!

    Anda mungkin akan dikenakan tindakan yang lebih aggressive oleh sindiket perniagaan kongsi gelap ini selepas tempoh PKP nanti!

    Hati2!

Comments are closed.