KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Selangor mengecualikan sebulan pembayaran sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk April, manakala melaksanakan penangguhan bayaran pada Mei dan Jun.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar Haniza Mohamed Talha berkata, langkah ini diambil demi meringkankan beban penyewa PPR,  majoriti dihuni oleh golongan B40 yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19.

“Berdasarkan aduan yang diterima terdapat penyewa yang tidak mampu membayar sewa bulanan atas beberapa sebab seperti pemotongan gaji oleh majikan, tidak dapat keluar berniaga dan hilang mata pencarian kewangan,” katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya, PPR yang terlibat penangguhan sewa adalah Kg. Baru Hicom, Kota Damansara, Serendah dan Council Homes Bandar Baru Bangi yang mempunyai 2,632 unit keseluruhan.

Ujar Haniza, pengecualian bayaran sewa untuk satu bulan bagi Mei melibatkan RM562,358 manakala jumlah kos penangguhan bagi Mei dan Jun adalah RM1,124,716.

Untuk rekod, fasa kedua PKP dijadual berakhir pada 14 April.

Fasa pertama bermula 18 hingga 31 Mac yang lalu.- MalaysiaGazette