Ayob Khan Mydin Pitchay

JOHOR BAHRU – Polis akan menyemak satu laman Facebook yang didakwa memuat naik kandungan video yang mencetuskan kegusaran orang ramai, sebelum memanggil seorang Ahli Parlimen yang juga bekas timbalan menteri, untuk memberi keterangan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung penularan video tersebut, yang kononnya memaparkan situasi bersesak-sesak melibatkan pekerja Malaysia dari Singapura di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, malam tadi.

“Pengarah Imigresen Johor Baharuddin Tahir sudah membuat laporan polis di Balai Larkin, kira-kira 11.30 pagi tadi, dan kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, siasatan terhadap kes itu kini diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.

Menurut beliau, penyebaran video itu sehingga tular di laman sosial bukan sahaja menggusarkan orang ramai, malah para agensi penguat kuasa.

Beliau turut mengesahkan video tersebut merupakan satu latihan kebakaran yang dilakukan di BSI akhir tahun lepas, dan individu yang menyebarkan video itu sepatutnya menyemak kesahihannya terlebih dahulu, sebelum menyebarkan di laman sosial.

“Kalau benar Ahli Parlimen itu (menyebarkan), bagi saya itu perbuatan tidak bertanggungjawab. Kertas siasatan sudah dibuka, kalau benar, tindakan akan diambil.

“Facebook kena sahkan (video dimuat naik oleh Ahli Parlimen itu), kalau betul, beliau akan dipanggil untuk siasatan. Kita tidak ada undang-undang berbeza sama ada orang awam atau Ahli Parlimen…undang-undang kita terpakai untuk semua,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ayob Khan berkata, pihaknya akan mempertingkatkan sekatan jalan raya dan penugasan pegawai serta anggota pada minggu depan, susulan lanjutan PKP.

Beliau berkata, polis sudah mengenal pasti 80 jalan tikus di negeri ini, dan sekatan jalan raya akan ditumpukan di jalan-jalan menghubungkan jalan tikus berkenaan.

“Di kawasan Simpang Renggam yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, terdapat 200 lebih anggota bertugas dan kita tidak buat sebarang penambahan, tetapi minggu depan, kita akan pertingkat sekatan jalan raya,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.