PUTRAJAYA – Kementerian Pengajian Tinggi dinasihati supaya bersabar dalam soal menghantar pulang pelajar-pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang ‘terkandas’ kolej kediaman di kampus masing-masing.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tempoh dua minggu itu penting untuk semua pihak bekerjasama dalam memutuskan rantaian Koronavirus 2019 dan menurunkan kes jangkitan kepada sifar.
Beliau tidak mahu usaha itu menjadi sia-sia dalam apa jua keadaan sekali pun termasuk perancangan KPT yang mahu kerajaan membenarkan pelajar balik ke kampung masing-masing.
“Kita cadangkan kepada KPT, memandangkan kita memasuki fasa ketiga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah penting untuk perlu memperketatkan lagi usaha menurunkan kes.
“Dalam hal ini kerjasama semua rakyat penting untuk kukuh bersama mencapai sasaran unjuran penurunan kes secara maksimum nanti dan tangguhkan rancangan (hantar pulang pelajar) dan bersabar sikit,” katanya dalam sidang media semasa Covid-19 petang tadi.
Katanya, kementerian akan meneliti data-data terkini kes Covid-19 dan akan menasihati KPT untuk mengambil langkah sesuai untuk menjaga kebajikan pelajar yang terkandas di kolej kediaman disebabkan PKP.
“Kita minta KPT bersabar mungkin dalam seminggu dua, data-data terkini Covid-19 akan diteliti dan berdasarkan perolehan kita boleh nasihat kepada KPT,” tegasnya.
Dalam status Facebook peribadinya Menterinya Datuk Noraini Ahmad berkata KPT akan meneliti kaedah terbaik untuk menghantar pulang pelajar yang masih berada di kampus ke rumah masing-masing.
Ujarnya, keutamaan ketika ini bukan hanya menghantar pulang mereka tetapi pulang dalam keadaan selamat dan sihat.
“Sebaiknya, saya mahu pelajar bukan sahaja dapat pulang ke rumah tetapi pulang dalam keadaan sihat dan selamat.
“Perkara ini akan di bawa ke Mesyuarat Khas Menteri mengenai COVID-19, esok,” katanya. – MalaysiaGazette