Pelaksanaan PKP juga telah mengubah persepsi umum tentang fungsi asas rumah yang selama ini dilihat hanya sebagai tempat berlindung daripada hujan dan panas, tempat beristirehat selepas penat bekerja, membina keluarga, menawarkan perlindungan dan keselamatan untuk anak-anak kecil.-Gambar hiasan.

KERAJAAN Malaysia telah mengistiharkan Perintah Kawalan Terhad (PKP) pada 18
Mac 2020 ketika 30 juta rakyatnya masih terpinga-pinga di dalam memahami
bahayanya virus Covid-19.

Pengumuman PKP yang berserentak dengan cuti sekolah pada awalnya telah memberi isyarat yang salah kepada sebahagian rakyat Malaysia yang menganggap ianya satu kesempatan untuk bercuti libur menyebabkan jalanraya bersesak dari utara ke selatan sehari selepas pengumuman kerajaan dibuat.

Manakala sebahagian rakyat pula bersesak di pasar kecil dan besar membuat pembelian barangan sebagai persiapan PKP.

Walaupun agak kalut pada awalnya; namun arahan itu dapat difahami dan diserap
sebaiknya oleh penduduk yang menghuni 7.3 juta rumah di Malaysia.

Sehingga kini Malaysia di antara negara di dunia yang efisien dan cekap di dalam mengawal kemerebakan virus pandemik itu.

Pelaksanaan PKP telah membawa pelbagai perubahan di dalam norma kehidupan,
sosial dan pemikiran baru masyarakat Malaysia. Antara yang ketara ialah
pelaksanaan waktu kerja fleksibel iaitu bekerja dari rumah (BDR).

PKP dilihat sebagai ejen perubahan utama konsep BDR. Ini telah mengubah tanggapan negatif majikan tentang kebebasan masa pekerja di dalam melaksanakan tugasan harian.

Di dalam melaksanakan PKP, majikan dan pekerja tiada pilihan lain selain
mengaplikasi konsep BDR dan masing-masing kini sedang membina kepercayaan
antara satu sama lain di dalam pelaksanaan kerja harian.

Konsep ini telah membawa perspektif baru dan harapan kepada rakyat Malaysia.
Walaupun masih terlalu awal untuk mengatakan BDR boleh memberi impak positif
kepada norma sosial dan sistem kekeluargaan rakyat berbanding sistem kerja
konvensional sedia ada.

Pada minggu pertama dan kedua pelaksanaan PKP, ramai yang kelam kabut untuk menyesuaikan diri dengan suasana kerja baru apa tidaknya masing-masing baru mula belajar applikasi atas talian untuk bermesyuarat dan sebagainya, namun setelah memasuki minggu ketiga, jadual kerja harian sepatutnya sudah boleh disusun sebaiknya.

Selain fleksibiliti masa dalam menjalankan pekerjaan; keselamatan dan suasana kekeluargaan beri impak positif kepada penghuni rumah.

Pelaksanaan PKP juga telah mengubah persepsi umum tentang fungsi asas rumah
yang selama ini dilihat hanya sebagai tempat berlindung daripada hujan dan panas,
tempat beristirehat selepas penat bekerja, membina keluarga, menawarkan
perlindungan dan keselamatan untuk anak-anak kecil.

Rumah telah membuktikan ianya juga berfungsi sebagai ruang bekerja yang baik dan kondusif terutama bagi golongan profesional dan semi profesional dan bukan hanya terhad kepada rumah yang diiktiraf melalui konsep SOHO (Small Office Home Office). Hipotesis ini boleh dikaji dengan meneliti beberapa kriteria utama iaitu jenis pekerjaan, ruangan bekerja di rumah, privasi, integriti di dalam menjalankan tugasan, fleksibiliti masa dan kebolehan pekerja untuk membuat pekerjaan secara bebas (independent) di dalam memenuhi KPI tahunan.

Di dalam minggu kedua dan ketiga PKP, dapat dilihat keseronokan rakyat Malaysia
berkongsi gambar di media sosial menghadiri mesyuarat dan membuat kerja harian
di atas talian yang sebelum ini merupakan satu kejanggalan kebanyakan generasi
termasuklah generasi baby boomer kerana kebanyakan mereka tidak ingin
mencuba atau tidak berpeluang untuk mencuba perkara yang baru.

Pada ketika ini juga rakyat berkongsi idea, kaedah dan cara bagaimana kerja atas talian boleh dijalankan sebaiknya.

Tidak dinafikan telah ada organisasi yang telah mengapplikasi waktu kerja fleksibel
sebelum PKP dilaksanakan, namun konsep ini masih belum diterima secara meluas
di negara ini.

Kajian rintis boleh dijalankan oleh mana-mana organisasi tentang kesesuaian waktu bekerja flesibel dan kesesuaian jenis pekerjaan bagi memastikan kesesuaiannya di masa akan datang.

Satu tinjauan atas talian oleh Majlis Keselamatan Negara, Soalan 10 yang bertanya adakah rakyat Malaysia merasakan suasana kehidupan mereka akan berbeza selepas berakhirnya Covid-19 mendapati 87 peratus menyatakan jawapan ya; penulis berpendapat salah satu perubahan yang besar ialah rakyat Malaysia telah mula menyesuai diri dengan sistem kerja baru iaitu waktu bekerja fleksibel.

Bekerja dari rumah memberikan fleksibiliti dalam waktu bekerja tanpa melainkan
urusan penting yang berkait dengan rangkaian kerja atau mesyuarat secara face to
face, penghantaran dokumen dan aktiviti sosial yang dijalankan disesuatu organisasi
tersebut.

Finland satu-satunya negara di dunia yang mempunyai Akta Waktu Bekerja
yang memberikan hak kepada pekerja untuk menentukan masa dan dimana mereka
bekerja iaitu sekurang-kurangnya separuh daripada waktu bekerja mereka.

Pandangan peribadi penulis, walaupun ibubapa bekerja dari rumah, PKP dilihat
sebagai tempoh masa yang terbaik untuk memberi perhatian terhadap anak-anak
yang selama ini tanggungjawab itu dilepaskan kepada pembantu rumah, guru taska
dan guru sekolah.

Bagi yang memahaminya, mereka ambil peluang untuk muhasabah diri dan perbaiki kekurangan lalu dengan melakukan pelbagai aktiviti keluarga seharian. Namun ianya bukanlah semudah bicara kerana setiap keluarga perlu bijak di dalam mengurus jadual masa sebaiknya.

Secara purata jenis rumah tertinggi di Malaysia ialah rumah teres iaitu 2.6 juta
rumah, diikuti rumah jenis banglo 2.4 juta dan ketiga tertinggi rumah jenis berstrata
iaitu 1.46 juta.

Daripada jumlah 7.3 juta rumah sebanyak 1,067,532 atau 15 peratus adalah
rumah sewa. Statistik jenis rumah di negara ini merupakan petunjuk utama kepada
kebolehupayaan rakyat untuk bekerja daripada rumah dan dianggarkan hampir 76
peratus kawasan di negara ini telah mengalami proses urbanisasi.

Adalah diharapkan selepas berakhirnya Covid-19, kerajaan boleh meneliti
penstrukturan sistem waktu kerja secara berperingkat sekiranya ianya berpotensi
untuk memberi impak positif kepada penambahanbaikan institusi kekeluargaan.

Perubahan ini memerlukan sokongan padu di pelbagai agensi dan tempoh masa di
dalam merubah kehidupan rakyat di negara ini kepada kualiti kehidupan yang lebih
baik.

Tindakan langkah pencegahan perlu diambil bukan hanya setakat penubuhan
kelab-kelab anti jenayah disekolah seperti yang pernah dinyatakan oleh Naib
Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee
Lam Thye yang bimbang dengan statistik tangkapan pelajar dalam jenayah indeks
tahun 2017 seramai 1,722 pelajar telah ditahan manakala 2018 seramai 1,286
pelajar ditahan.

Tempoh PKP ini telah membuka mata kebanyakan rakyat tentang pelbagai perkara
antara yang penting ialah pembentukan intitusi kekeluargaan yang diterjemahkan
melalui sikap bertanggungjawab, sikap bertolerasi dan kasih sayang selain
pentingnya pekerjaan demi survival kehidupan.- MalaysiaGazette

Sr Dr Mona Isa
Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Pengurusan Hartanah,
Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur,
40450 UiTM Shah Alam.
Email: [email protected]

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast