Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Nilai jualan sektor Pembuatan Malaysia tumbuh sebanyak tujuh peratus pada Februari 2020 kepada RM110.6 bilion berbanding RM103.4 bilion yang dilaporkan tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, perbandingan bulanan menunjukkan nilai jualan menurun sebanyak 6.3 peratus (RM7.4 bilion).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin ketika mengulas laporan Perangkaan Pembuatan Malaysia Februari 2020 berkata, kadar pertumbuhan tahunan yang direkodkan pada Februari tahun ini didorong oleh kenaikan Produk Petroleum, Kimia, Getah & Plastik (9.4%), Produk Makanan, Minuman & Tembakau (7.2%) dan Produk Peralatan Elektrik & Elektronik (5.5%).

Selain itu, jumlah pekerja sektor Pembuatan pada bulan Februari 2020 adalah  seramai  2,277,882  orang,  meningkat  sebanyak  1.6  peratus  atau  36,080 orang berbanding 2,241,802 orang pada Februari 2019.

Kandungan laporan tersebut juga menyatakan jumlah gaji & upah yang dibayar adalah berjumlah RM7,608.4 juta, naik sebanyak 4.4 peratus atau RM318.1 juta pada Februari 2020 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Pada masa yang sama, nilai jualan per pekerja meningkat 5.3 peratus kepada RM48,553 berbanding bulan yang sama tahun 2019. Sementara itu, purata gaji & upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,340 pada bulan Februari 2020. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast