Seorang lelaki warga Pakistan yang bekerja sebagai tukang gunting rambut di Setapak disahkan positif Covid-19 hari ini selepas berita mengenainya tular semalam.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini membuat keputusan tidak membenarkan kedai gunting rambut, salun kecantikan dan kedai cermin mata beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, keputusan itu dibuat selepas kerajaan mendapat pandangan dari pelbagai pakar termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

“Beberapa hari lalu berlegar isu kedai gunting rambut. Kerajaan sentiasa dengar pandangan rakyat dan dapat nasihat dari pakar tertentu serta NGO mengenai perkara ini.

“Dengan itu, pada mesyuarat pagi ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuat keputusan bahawa kedai gunting rambut, salon kecantikan dan kedai cermin mata tidak dibenarkan beroperasi sepanjang PKP ini.

“Keputusan ini menjawab segala persoalan yang ditimbulkan oleh rakyat, maka Perdana Menteri putuskan tak ada isu berkaitan kedai gunting rambut lagi. Semuanya tidak dibenarkan beroperasi,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.

Artikel berkaitan: Dr Noor Hisham nasihat kerajaan henti dulu aktiviti ekonomi termasuk gunting rambut

Mengenai Bazar Ramadan, Ismail Sabri juga berkata, semua bentuk perniagaan itu sepanjang bulan puasa ini tidak dibenarkan sama sekali beroperasi di seluruh negara.

“Semua bentuk perniagaan Bazar Ramadan sepanjang PKP ini tidak dibenarkan,” tegas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast