Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

KUALA LUMPUR – Permohonan dan cadangan untuk membenarkan karyawan seni untuk keluar bekerja semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dibincangkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah mengalu-alukan cadangan dan pandangan yang daripada semua pihak untuk bersama-sama membantu industri tempatan.

“Tetapi meskipun terdapat perkembangan positif dalam usaha memerangi Covid-19 namun keadaan masih belum pulih 100 peratus.

“Nyawa dan keselamatan semua rakyat Malaysia harus diberikan keutamaan. Saya akan membincangkan perkara ini dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara(MKN),” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin berkata, kerajaan menerusi KKMM sentiasa meneliti pelaksanaan dasar-dasar dan program-program kerajaan untuk membantu sektor-sektor industri kreatif supaya terus berkembang dan membangun.

Justeru pihaknya amat mengambil berat terhadap nasib mereka yang terkesan daripada segi ekonomi berikutan wabak Covid-19 yang melanda.

Menurut beliau, pelbagai usaha sedang dilaksanakan untuk memastikan penggiat dan karyawan seni kreatif tempatan mampu menjana pendapatan dan menjaga kebajikan mereka.

Sebagai langkah awal, satu pertemuan telah diadakan dengan wakil-wakil persatuan-persatuan karyawan seni dan kreatif tempatan pada 26 Mac lalu melalui sidang video bagi mendengar dan memahami masalah yang dihadapi serta cadangan penyelesaian.

“Saya juga telah membawa suara mereka ke mesyuarat jemaah Menteri untuk mencari jalan bagi menyelesaikan masalah-masalah mereka. Bagi meringankan beban yang ditanggung, suntikan dana tambahan telah disalurkan kepada persatuan-persatuan yang dikenali pasti.

“Peruntukan ini adalah bagi membantu penggiat seni kelainan upaya, warga emas serta mereka yang terlantar sakit dan memerlukan bantuan perubatan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, KKMM juga katanya, akan memastikan lebih banyak peluang pekerjaan dan kandungan kreatif dapat dihasilkan melalui Dana Kandungan Digital (DKD) melalui agensi- agensi KKMM seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

Bagi mencapai matlamat tersebut dan menggalakkan lebih banyak permohonan, FINAS dan MDEC telah melanjutkan tarikh tutup permohonan DKD tahun ini pada 15 Mei ini.

Malahan, kementeriannya turut akan menetapkan semula tarikh tayangan filem yang terjejas akibat Covid-19.

“Saya akan mengarahkan Jawatankuasa Skim Wajib Tayang FINAS mengadakan perbincangan bersama pihak pawagam dan mengumumkan mekanisma penentuan cadangan tayangan semula ini dengan segera.

“Bagi memacu semula pelaburan dalam sektor perfileman, Insentif Penggambaran Filem di Malaysia (Filming in Malaysia Incentive- FIMI) telah ditambah baik.

“Kerajaan telah menurunkan kadar Kelayakan Perbelanjaan Produksi dalam Malaysia (Qualifying Malaysian Production Expenditure – QMPE) bagi penerbit tempatan kepada RM1.5 juta.

“Di samping itu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Bahagian Pembangunan Kandungan (BPK) telah melancarkan program ‘Nyanyi dari Rumah’ dan ‘Muzik dari Rumah’ bagi membantu para penyanyi termasuk buskers yang tidak dapat menjana pendapatan akibat pembatalan program-program berkaitan,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette