Che Pah mengimbau kunjungan jiran-jiran ke rumah sebelum PKP dikuatkuasakan.

Marhaba… Alhamdulillah kini kita, sudah pun memasuki fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Che Pah juga semakin terbiasa dengan rutin di rumah. Che Pah tak rasa janggal keena sememangnya Che Pah gemar tinggal di rumah jika tiada urusan di luar.

Kali ini Che Pah nak menyingkap kisah jiran tetangga pula. Che Pah nak bawa awak semua merasakan keterikatan silaturahim jiran tetangga Che Pah di Muar.

Mereka sudah ibarat keluarga bagi Che Pah. Mengambil tahu ketika susah dan berkongsi gembira ketika senang

Kisah ini berlaku sekitar dua bulan sebelum kerajaan mengisytiharkan PKP. Kisah yang membuatkan jalinan silaturahim Che Pah bersama jiran semakin erat.

Pagi itu usai Che Pah membersih laman dan menyidai baju, terdengar orang memberi salam di luar.

Hati bertanya siapakah gerangan yang bertandang. Rasanya tiada rakan taulan mahupun saudara rapat yang menghubungi dan kata nak singgah.

Che Pah lantas menjawab salam. Che Pah jenguk ke luar dari pintu tengah rumah. Kelihatan beberapa orang kakak berhijab di depan rumah.

Rupa rupanya jiran Che Pah datang berziarah. Salah seorang dari mereka bernama Kak Kamariah terus mesra menyapa. Che Pah terus melangkah membuka pintu depan sambil menjemput semua masuk.

Che Pah mempersila mereka duduk. Rupanya kakak kakak jiran lama Che Pah ini baru kembali dari kuliah agama di masjid.

Selain Kak Kamariah, hadir juga Kak Faridah dan Kak Rohaya jiran di depan rumah. Bersama mereka juga seorang jiran yang baru Che Pah kenal. Kakak ini jiran yang baru berpindah di kawasan kampung Che Pah. Sebab itu Che Pah kurang kenal.

Lama rasa tak berbual dengan jiran tetangga. Hanya sekadar bersapa sebentar atau cuma melambai tangan kala berselisih di jalan saja selama ini.

Kak Faridah merupakan anak kepada Mak Chah dan Pak Haji Aziz, jiran berdepan dengan rumah Che Pah. Hubungan kami cukup akrab. Bukan lagi sekadar jiran malah lebih kepada saudara.

Keluarga Pak Haji Aziz sangat terkenal dengan budi bahasa dan adab. Mak Chah dan Pak Haji Aziz seorang yang sangat lemah lembut. Bercakap sambil tersenyum. Tak pernah kasar bahasa.

Jika memanggil Che Pah, mereka akan memanggil dengan nama penuh. Nama Che Pah misalnya bukan sekadar dipanggil Hashim sebaliknya panggilan Syed Hashim sentiasa terhias dibibir mereka. Hal ini turut diikuti anak anak mereka.

Paling Che Pah kenang ialah roti naik Mak Chah. Mak Chah pakar membuat roti naik. Orang Muo terkenal dengan roti naik. Sedap dicicah dengan kopi 434.

Boleh dikata ketika hayat Mak Chah selang sehari pasti roti naik akan di hantar ke rumah kami. Ada dua jenis roti naik dibuat oleh Mak Chah. Ada yang dibakar dan ada yang dikukus.

Itu yang membuat Che Pah tak lupa dengan Mak Chah. Apabila Mak Chah meninggalkan kami demi menyahut panggilan Ilahi, anak lelaki Mak Chah yang mesra dipanggil Abang Aceh atau nama sebenarnya Hashir Abdul Aziz pula menggantikan Mak Chah membuat roti naik.

Nampaknya air tangan Mak Chah turun pada Abang Aceh. Maka setiap kali balik ke Muo, pasti Che Pah minta Abang Aceh buatkan roti naik.

Namun mereka semua sudah tiada. Mak Chah, Pak Haji Aziz dan Abang Aceh telah pulang ke negeri abadi. Semoga mereka tenang di sana.

Kak Rohaya pula adalah menantu kepada Mak Chah. Kak Rohaya berkahwin dengan salah seorang anak Mak Chah bernama Abang Amir.

Kak Rohaya banyak jasanya buat keluarga Che Pah. Ketiga tiga orang anak adik Che Pah dititip kepada Kak Rohaya semasa adik Che Pah pergi berkerja.

Anak anak buah Che Paj memanggil Kak Rohaya dengan panggilan Emak. Hubungan mereka rapat sehingga kini. Cuma jarang berjumpa. Adik Che Pah pun sudah berpindah ke Putrajaya.

Kak Faridah juga anak kepada Mak Chah. Kak Faridah dulu tinggal di ibu kota Kuala Lumpur. Akan tetapi kini telah kembali bermastautin di Muo, kampung halaman tercinta. Ibarat burung pulang ke sarang.Sirih pulang ke gagang.

Kak Faridah saling tak tumpah seperti Mak Chah. Raut wajah dan lembut bicara Kak Faridah persis Mak Chah. Bercakap sambil ketawa. Budi bahasa Kak Faridah ibarat kata tak boleh dijual beli. Umpama orang tua tua kata belum diangkat hidangan namun sudah kenyang dengan budi bahasa.

Kak Kamariah pula tempat kami menghantar baju untuk dijahit. Dulu baju kurung disembat tangan. Bahagian leher harus dijahit tangan dengan jahitan tulang belut.

Itu kemahiran Kak Kamariah. Boleh dikatakan Kak Kamariah banyak berjasa dengan orang kampung kami. Jahitan Kak Kamariah sangat halus.

Orang Johor sangat cerewet bab baju kurung. Potongan harus terletak. Baju kurung wajib berpesak dan berkekek. Leher dijahit tulang belut dengan jahitan tangan. Baru orang Johor namanya. Begitu sekali kami orang Johor berbangga dengan busana kami ini.

Kehadiran jiran tetangga ini sangat menggembirakan Che Pah. Silaturrahim kembali terjalin. Ia menghubungkan kami dengan talian kasih sayang dalam erti kata kejiranan dan sesama Muslim.

Rasanya molek jika ziarah jiran seumpama ini kita hidupkan semula. Walau moden bagaimana hidup kita, nilai kasih sayang usah diputuskan.

Bukankah pepatah ada berkata jiran yang dekat itu lebih baik dari saudara yang jauh. Che Pah masih ingat peribahasa yang diajar guru ini ketika saya masih di sekolah rendah.

Juga masih tidak luput dari ingatan Che Pah jasa Abang Aceh kala membantu mengemas Rumah Tanjung Che Pah sebelum jenazah Walid dibawa balik ke Muo untuk disemadikan di perkuburan Islam Bakri Batu 6. Inilah yang Che Pah maksudkan sebagai nilai kejiranan.

Sebelum jiran tetangga saya pulang, sempat kami mendoakan satu sama lain. Semoga pertalian kasih ini tidak berhenti setakat ini sahaja. Che Pah doakan hingga ke Jannah hendaknya.

Waktu PKP sebegini baru Che Pah mengerti erti kejiranan. Buat masa ini kita tidak digalakkan berziarah. Masing masing menetap di rumah sendiri.

Namun teknologi mampu menemukan kita setiap pagi. Apa kata kita gunakan aplikasi whatssup untuk menghantar Salam serta bertanya khabar diantara satu sama lain.

Che Pah amalkan ini pada setiap pagi. Che Pah gunakan Whatssap untuk mengirim salam serta mendoakan keluarga, saudara serta sahabat pada setiap pagi.

Daripada kita gunakan aplikasi ini untuk menghantar berita yang belum pasti kesahihannya, lebih baik kita menghantar salam bagi mendoakan semua. Kita mulakan hari dengan nilai positif.

PKP bagi Che Pah bukan bermakna talian kasih sayang terus terputus. Jauh di mata namun tetap dekat dihati. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast