Anggota tentera melakukan kerja-kerja pemasangan kawat-kawat besi bagi mengawal laluan keluar masuk Selangor Mansion, Malayan Mansion dan Jalan Masjid India berikutan Perintah Kawalan Pergerakan ketika tinjauan Malaysia Gazette di Silka Maytower, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 14 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Sebuah lagi daerah iaitu Muar di Johor dikategorikan sebagai zon merah Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan zon itu sebanyak 27 kawasan setakat 12 tengah hari semalam.

Menurut Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), daerah berkenaan merekodkan 44 kes positif Covid-19.

Berdasarkan infografik CPRC KKM yang dikongsikan melalui media sosial rasmi kementerian itu hari ini, Lembah Pantai, Kuala Lumpur terus menjadi kawasan tertinggi positif Covid-19 dengan 572 kes, manakala Hulu Langat dan Petaling di Selangor masing-masing merekodkan 433 dan 359 kes, diikuti Kuching, Sarawak dengan 240 kes.

Klang pula mencatatkan 167 kes, Gombak 141, dan Sepang dengan 67 kes, Hulu Selangor 49 kes.

Kawasan zon merah lain adalah Kluang 201 kes; Seremban 261; Johor Bahru 184; Kepong 131; Titiwangsa 122; Kinta 93; Kota Bharu 90; Tawau 79; Hilir Perak 65; Cheras 74; Jerantut 70; Rembau 53; Kuantan 91; Batu Pahat 51; Putrajaya 54; Jasin 68; Kota Samarahan 52; dan Melaka Tengah 52.

Sementara itu dalam 15 kawasan yang dikategorikan jingga dan dan menghampiri zon merah pula adalah Lahad Datu 39 kes, Seberang Perai Tengah 40, Kota Kinabalu 40, Kulai 38, dan Kuala Muda, Kedah 35 kes.

Zon merah mewakili jumlah positif Covid-19 melebihi 41 kes, zon jingga (20-40 kes), zon kuning (1-19 kes) dan zon hijau tiada kes. -MalaysiaGazette