Imej satelit yang menunjukkan pengurangan pencemaran udara di China semasa sekatan perjalanan dilaksanakan bagi membendung penularan Covid-19.

WABAK pandemik Covid-19 dalam masa dua bulan sahaja telah menunjukkan peningkatan pemulihan kesihatan bumi dengan amat menakjubkan. Bukti saintifik yang dilaporkan oleh Persatuan Geografi Nasional (National Geographic Society) memberi petunjuk bahawa pengurangan aktiviti manusia dibumi telah membantu kearah ini.

Dalam masa hanya dua bulan kemudian kualiti udara telah meningkat sebanyak 21.5%. bukan sahaja di bandar Wuhan tetapi di seluruh negara China. Data ini telah dianalisa melalui imej satelit dan disahkan oleh NASA dan Agensi Angkasa Eropah. Pengurangan yang ketara ialah bahan nitrogen oksida di seluruh negara China.

Setiap tahun negara Cina telah membebaskan bahan CO2 dunia sebanyak 30%. Semasa krisis Covid-19 ini kadar pelepasannya telah turun kepada 25% sahaja. Perintah kawalan pergerakan dan pengangkutan telah membantu pengurangan pelepasan CO2 di udara.

Perubahan ini turut berlaku di tempat-tempat lain di dunia. Sebagai contoh pencemaran udara di Barcelona dan Madrid juga turut turun kepada 50%. Menurut WHO pencemaran dunia telah menyebabkan kematian hampir 7 juta manusia dalam masa setahun. Usaha mengurangkan pencemaran yang berterusan akan membantu dan boleh menyelamatkan nyawa.

Krisis ini memberi ruang dan peluang kepada kita semua untuk berfikir tentang cabaran isu perubahan iklim dunia yang sering dibahas. Apakah ia membuka mata kita dan kita akan mengubah cara hidup kita selepas ini?

Dari aspek perhutanan dan alam sekitar, keupayaan hutan sebagai kolam karbon dan membersihkan pencemaran di atmosfera telah dibuktikan. Setiap tahun hutan menyerap satu pertiga CO2 yang dilepaskan di atmosfera dunia.

Walau pun sumber pencemaran telah dapat kita kenal pasti tetapi kesedaran tentang hutan dan ekosistemnya dalam membantu menangani kesan ini belum sampai ke tahap yang baik oleh masyarakat.

Keluasan kawasan berhutan di Malaysia kira kira 52% tetapi kemampuan hutan dalam mengurangkan kesan pencemaran alam sekitar adalah terbatas. Usaha bersama perlu dilaksanakan dan diperkasakan melalui kerjasama sektor kerajaan, industri,badan-badan bukan kerajaan dan masyarakat.

Kajian daripada Dettol dan Lysol dan Haris Interactive pada 6 Mac 2020 mendapati  rakyat Malaysia menduduki tempat pertama sebagai yang paling ramai mengubah sikap ke arah nilai positif dalam aspek penjagaan diri selepas penularan Covid-19 di seluruh dunia. Manakala tahap kebimbangan adalah 86%.

Justeru itu kita harapkan semoga sikap ini terlihat juga dalam aspek penjagaan alam sekitar di masa krisis ini berlaku dan selepasnya. Bagi masyarakat awam pengurangan pergerakan kenderaan bermotor dan aktivti pembakaran sama ada skala besar dan kecil dapat dihentikan buat seketika.

Adalah lebih baik selepas ini pihak kerajaan menghadkan pergerakan masuk kenderaan bermotor di kawasan bandaraya. Selain mengurangkan kesesakan, ia juga membantu mengurangkan pelepasan karbon ke udara.

Kempen penggunaan pengangkutan awam dan berkongsi kereta perlu diperkasakan semula. Komitmen Malaysia terhadap pengunaan tenaga hijau perlu diperluaskan kepada semua sektor dan segmen pengguna bagi merakyatkan inisiatif yang baik ini.

Kepada pihak industri langkah yang boleh dilaksanakan ialah memastikan operasi mesin dan jentera adalah di tahap yang minimum bagi pelepasan karbon ke udara.

Bagi membantu penyerapan karbon, pihak berwajib perlu memastikan penanaman semula pokok-pokok di kawasan hutan yang merosot.

Diharapkan pihak berkuasa tempatan menanam pokok-pokok yang sesuai dan berpotensi tinggi di kawasan perbandaran yang masih mempunyai ruang-ruang kosong seperti di sepanjang jalan raya dan taman-taman awam dengan mewujudkan hutan bandar sebagai agen pemulihan pencemaran.

Kita sedar dunia sedang pulih dari kesan pencemaran yang kita lakukan selama ini. Kerana bila keadaan kembali seperti biasa, pencemaran akan terus menyebabkan kerosakan bumi. Dari krisis ini kita boleh berfikir, merancang dan meneruskan hidup kita selepas ini dengan lebih teratur dan menjaga bumi serta alam sekitar dengan lebih bertanggungjawab.

Oleh: Oleh Prof. Gs. Dr. Mohd Hasmadi Ismail, Profesor Jabatan Sains Perhutanan & Biodiversiti, Fakulti Perhutanan & Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Setiap tahun negara Cina telah membebaskan bahan CO2 dunia sebanyak 30%!

    Antara negara yang terbanyak menyumbangkan POLLUTION kepada dunia, pemanasan global!

Comments are closed.