Datuk Huzir Mohamed. foto SYAFIQ AMBAK, 15 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Polis sedang menjalankan siasatan ke atas suspek rogol dua wanita Mongolia yang ditahan pada Sabtu lalu di Daerah Petaling Jaya dalam dua pertuduhan berbeza.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Huzir Mohamed berkata, dua kertas siasatan telah diibuka berkaitan kes rogol dua mangsa masing-masing berusia 20 dan 37 tahun itu.

“Semalam telah dimaklumkan dua kertas siasatan dibuka secara berasingan iaitu rogol dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) kerana memperdagangkan orang.

“Kami sedang siasat mereka ini (jika ada unsur) diperdagangkan, sebab mereka bukan suspek, tetapi mereka adalah mangsa (pemerdagangan manusia),” katanya dalam sidang media perkembangan penguutkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan seluruh negara sejak 18 Mac hingga semalam 14 April 2020 di Bukit Aman.

Menurut Huzir, polis juga menyiasat status kesahihan laporan polis oleh kedua-dua mangsa itu untuk menentukan sama ada wujud elemen penipuan atau sebaliknya.

Beliau juga ditanya dakwaan suspek berusia 30 tahun bahawa hubungan seks diadakan bersama kedua-dua wanita asing itu atas kesukarelaan atau suka sama suka.

“Itu (dakwaan seks sukarela) juga kita sedang siasat dalam kes ini.tunggulah dia baru direman lima hari, kita akan menjalankan siasatan secara mendalam.

“Wanita Mongolia dalam kini perlindungan Bahagian D11 (Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak),” tegasnya lagi.

Tambahnya kedua-dua mangsa berkenaan lagipun tidak ditahan di lokap tetapi di rumah perlindungan mengikut D11.

“Apabila buka siasatan bawan ANTIPSOM, baru kita boleh minta mahkamah eletakkan mereka bawah Interim Protection Order (IPO) dan sepanjang tempoh ini, membolehkan kita siasat dan mengesahkan bahawa dia ini adalah mangsa.

“Selepas itu apabila dituduh di mahkamah (suspek) dan sesiapa yang cuba eksploitasi dia (mangsa rogol), maka dia merupakan mangsa anti pemerdagangan,” jelas beliau.

Huzir pada masa yang sama juga mengakui mungkin wujud salah faham oleh peguam mangsa yang kononnya kedua dua mangsa mungkin ditahan dilokap.

“Itu salah faham dia..kita simpan dan selamatkan mangsa di bawah rumah perlindungan dan untuk mengesahkan dia mangsa atau tidak kita perlukan IPO.Maka saya tak pasti peguam itu faham atau tidak proses ini.

“Satu lagi, kedua-dua mangsa dah overstay dan jika sedemikian dalam tempoh PKP boleh diambil tindakan pengusiran dan sebagainya, tetapi nak usir pun sukar sebab sekarang banyak isu antaranya tiada penerbangan pesawat,”jelas beliau.

Pada Ahad lalu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal mengesahkan penahanan seorang pegawai polis berpangkat Inspektor yang bertugas di IPD berkenaan atas kesalahan merogol dua wanita Mongolia.

Katanya, suspek dipercayai menahan kedua-dua wanita yang didapati datang sebagai pelancong ke negara ini tanpa sebarang dokumen dalam sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan di daerah tersebut.

Artikel berkaitan: Inspektor polis disyaki rogol 2 wanita Mongolia ditahan

Suspek dikatakan membawa kedua-dua wanita itu ke sebuah hotel di kawasan sama sebelum mereka dirogol secara paksaan dalam kejadian pada 9.30 malam Sabtu lepas.

Suspek kini direman sehingga Khamis ini dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol manakala kedua dua wanita telah dirujuk untuk rawatan dan pemeriksaan kesihatan.

“Saya zahirkan rasa kecewa tetapi kita akan terus all out dalam kes ini memastikan tindakan sekeras-kerasnya ke atas pegawai ini berlunaskan undang-undang yang sedia ada,”tegasnya.-MalaysiaGazette