ACP Nik Ezanee Mohd Faisal

KUALA LUMPUR- Seorang pegawai polis berpangkat inspektor ditahan dan sedang disiasat polis selepas didakwa merogol dua wanita warga Mongolia dalam kejadian semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, inspektor itu kini direman selama lima hari.

“Daripada operasi SJR (sekatan jalan raya) ini kita menerima maklumat ada dua wanita ditahan dalam sekatan dan dibawa tanpa rela ke sebuah hotel mewah. Hasil perancangan dan pemantauan pasukan risikan polis, kita berjaya menyelamatkan kedua-dua wanita warga Mongolia itu di sebuah hotel semalam.

“Ketika diselamatkan, hasil soal siasat daripada kedua dua mangsa Mongolia itu seorang pegawai polis yang bertugas di Petaling Jaya telah ditahan,” katanya ketika ditemui semasa menyertai SJR di PJU 7/1, Mutiara Damansara di bawah stesen MRT Mutiara Damansara hari ini.

Tambah Nik Ezanee, kedua-dua mangsa Mongolia itu berusia 20 dan 33 tahun dan tidak boleh berbahasa Melayu ataupun bahasa Inggeris.

Menurutnya, polis ketika menyoal siasat mangsa pihaknya terpaksa mendapatkan sahabat mereka yang berbangsa Mongolia juga untuk proses penterjemahan daripada kedua-dua wanita yang diselamatkan polis.

“Kemudian kami membawa mangsa kepada pihak kesihatan dan menjalankan pemeriksaan dan kini diletakkan di bawah jagaan Jabatan Jenayah Seksual PDRM.

“Suspek yang ditahan adalah berusia 30 tahun berpangkat inspektor dan direman selama lima hari untuk disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Pihak pasukan polis forensik juga dipanggil dan telah menjalankan siasatan di tempat kejadian penemuan kedua-dua mangsa itu,” ujarnya lagi.

Jelas beliau, polis akan mendapatkan perintah perlindungan interim (Interim Protection Order) dari majistret untuk melindungi kedua-dua wanita Mongolia itu dan kes tersebut akan diselesaikan secepat mungkin.

Tegasnya, setakat ini hanya seorang suspek yang terlibat dalam perbuatan itu dan kedua-dua mangsa Mongolia itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Kedua-dua mangsa menerusi siasatan juga mendapati telah ditahan suspek di sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Op Covid-19 di PJ.

“Jadi kita masih meneruskan siasatan kes ini dan saya memberi jaminan kita akan menyiasat sepenuhnya kes secara serius tanpa sebarang kompromi demi keadilan kepada mangsa,” tegasnya.-MalaysiaGazette

3 Komen

  1. KP Ezanee dah assure akan siasat tanpa bias. Walaupun dia pelacur, tak kan dia nak dajal polis main suka2 dia jer. Confirm dah kawad cam. KP PJ ni memang tegas dan adil aku dengar citer. Memang harumkan nama PDRM.

Comments are closed.