Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Arthur Joseph Kurup (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada wakil pelajar, Muhammad Zamri Maddimunri, 21 (dua kiri) pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Pelajar UKM di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 16 APRIL 2020.

BANGI – Hanya lapan hari lagi umat Islam mula berpuasa dan bagi pelajar yang masih berada di kampus kerana tidak dibenarkan pulang ke rumah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), harapan untuk menunaikan ibadah itu pada hari pertama Ramadan bersama keluarga tidak akan menjadi kenyataan

Ini kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga hanya akan berakhir pada 28 April iaitu setelah lima hari umat Islam berpuasa.

Namun terdapat sinar mereka mungkin dapat menyambut Hari Raya Aidil Fitri bersama keluarga di kampung jika penularan wabak Covid-19 bertambah baik.

Bagaimanapun, masanya masih lagi panjang dan menjadi tanda namun mereka redha jika PKP disambung demmi kebaikan untuk semua.

Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohd Zamri Madimundri, 21, menjangkakan tidak mustahil Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan sehingga Aidilfitri nanti.

Pelajar UKM, Muhammad Zamri Maddimunri, 21, bercakap selepas pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Pelajar UKM di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 16 APRIL 2020.

Sekiranya benar, katanya, maka Aidilfitri tahun ini adalah yang pertama buat anak jati Tawau ini tidak bersama keluarga namun pelajar Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan itu sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Baginya, semua pelajar yang berada di kampus buat masa ini perlu bersedia menghadapi keadaan itu.

“Sebelum ini saya sudah berjauhan di bulan Ramadan dengan keluarga. Mungkin tahun ini juga sama, insyallah sekiranya PKP tidak dilanjutkan lagi ada peluang untuk balik, saya akan balik minggu akhir Ramadan.

“Sekiranya PKP dilanjutkan kemungkinan besar akan kekal di sinilah kami sepanjang raya. Secara jujurnya saya tidak bersedia untuk beraya di kampus tetapi untuk mematuhi PKP kita perlu bersedia untuk pelbagai kemungkinan tapi harapan saya dalam lubuk hati paling dalam saya memang mahu pulang,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau yang telah berada di kampus sejak kerajaan melaksanakan PKP fasa pertama pada 18 Mac lalu mengakui merindui keluarganya namun kecanggihan teknologi dapat merapatkan hubungannya dengan mereka.

“Secara jujur, bagi saya daripda segi fizikal dan mental alhamdulillah saya masih berada dalam keadaan baik. Kalau rindu, saya akan telefon keluarga, video call sekarang ini ada teknologi makin canggih boleh duduk sudah berhadapan dengan mereka (keluarga),” tambahnya.

Pelajar Fakulti Pengajian Islam universiti itu, Nurul Firzanah Nordin, sememangnya semua keluarga akan menginginkan anak mereka pulang pada waktu seperti ini, begitu juga kedua ibu bapanya.

Pelajar UKM, Nurul Firzanah Nordin, 22, bercakap selepas pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Pelajar UKM di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 16 APRIL 2020.

Namun memikirkan keselamatan dan kesihatan Nurul lebih penting, maka keluarganya memahami ketetapan kerajaan dan menerimanya dengan hati terbuka, asalkan keselamatan dan kebajikan gadis berusia 22 tahun ini sentiasa terjamin.

“Seperti yang kita tahu keluarga mana yang tidak menginginkan anak mereka pulang ke rumah tapi alhamdulillah keluarga saya sangat memahami kerana keselamatan dan kesihatan itu juga penting.

“Oleh itu mereka bersetuju untuk saya terus tinggal di sini demi membantu barisan hadapan di luar sana dan keselamatan diri sendiri selain keluarga di luar sana juga,” ujarnya.

Nurul tidak pernah berasa keseorangan kerana ramai rakan-rakannya truut berada di kampus sejak PKP dilaksanakan.

“Alhamdulillah sepanjang PKP kami berada di setiap kolej kediaman UKM, ramai dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Semua kebajikan dijaga oleh pihak UKM.

“Dari segi emosi alhamdulillah walaupun di kalangan kami ada yang sempat balik ke rumah masing-masing, tapi kami saling menjaga satu sama lain,” katanya.

Bakal menyambut Ramadan tanpa keluarga untuk kali kedua tahun ini, Nurul yang berasal dari Papar akan sentiasa memastikan kemanisan beribadah seperti biasa.

Beliau juga yakin kebajikan semua pelajar UKM yang berada di kampus tidak akan terabai sepanjang bulan mulia itu kelak.

“Persediaan untuk Ramadan di kampus tidaklah menjadi satu masalah, kami yakin UKM tidak akan menyisihkan pelajar-pelajarnya dalam waktu Ramadan.

“Walaupun ada yang kerajaan tidak benarkan seperti cara kita sambut Ramadan sebelum ini tapi ia tidak bermakna Ramadan tidak disambut meriah. Cumanya tidak berjemaah, mungkin kita tidak merasa kemeriahan itu tetapi insyallah kemanisan iman itu ada,” kata Nurul lagi.

Berasal dari Kota Marudu Sabah, Yill Sonyanggun yang juga Ahli Majlis Perwakilan UKM menyuarakan penghargaannya terhadap pihak pengurusan universiti yang sentiasa memastikan tidak ada seorang pelajar tersisih.

Bahkan pelajar yang menyewa di luar kampus turut dijamin kebajikan mereka, kata mahasiswa Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan tahun dua itu.

Pelajar UKM, Yillson Yanggun, 23, bercakap selepas pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Pelajar UKM di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 16 APRIL 2020.

“Sejak 18 Mac, PKP fasa pertama kami memang sudah berada di sini untuk dikuarantinkan sehingga ke hari ni kami berada di sini sebab kerajaan Malaysia sudah memberikan yang terbaik dengan memberikan sumbangan.

“Universiti pun berikan kami makanan sarapan, makan tengah hari dan makan malam untuk seluruh mahasiswa dalam kampus,” katanya.

Justeru Yill menyifatkan tidak ada sebab untuk semua pelajar mana-mana Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk menyuarakan keresahan untuk pulang ke kampung halaman yang akhirnya boleh mendedahkan diri dengan risiko jangkitan Covid-19.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast