ACP Nik Ezanee Mohd Faisal

PETALING JAYA – Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor berusia 30 tahun yang ditahan sebelum ini atas dakwaan kesalahan merogol dua wanita Mongolia disambung reman sehingga esok.

Polis telah membawa suspek yang juga telah bertugas di Ibupejabat Polis Daerah Petaling Jaya ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya sekitar 10.45 pagi tadi untuk mendapatkan perintah sambung reman.

Polis berjaya mendapatkan perintah mahkamah tahan reman suspek selama dua hari lagi, kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Katanya, sambung ke atas suspek dibenarkan sebagai melengkapkan kertas siasatan tuduhan rogol yang dihadapinya.

“Setakat ini kes siasatan mencapai tahap progres 40 peratus,” katanya tanpa enggan mengulas lebih lanjut.

Pada Ahad lalu, Nik Ezanee mendedahkan mengenai tangkapan suspek yang telah didakwa melakukan kesalahan itu pada 9.30 malam Sabtu lalu sebelum direman lima hari untuk membantu siasatan.

Suspek didakwa menahan kedua-dua mangsa berusia 20 dan 37 tahun itu dalam sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah tersebut atas kesalahan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan.

Siasatan polis mendapati suspek kemudian membawa kedua-dua wanita warga asng itu ke sebuah hotal di daerah sama dan ditempatkan dalam bilik berasingan sebelum didakwa merogol mereka secara paksaan.

Kata Nik Ezanee hasil pemantauan polis berjaya menyerbu dan menahan suspek dan menyelamatkan kedua-dua mangsa yang kemudian dirujuk kepada pemeriksaan kesihatan di hospital dan diletakkan di bawah perlindungan Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11) PDRM.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Huzir Mohamed pula mengesahkan kes berkenaan disiasat dalam dua skop iaitu satu kesalahan rogol dan satu lagi mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Antipsom).

Katanya, tindakan itu menyusul selepas wujud selepas didapati kedua-dua wanita itu dalah mangsa rogol dan menyiasat sama ada mereka adalah mangsa anti pemerdagangan manusia.

Tambah beliau, polis juga dalam proses mendapatkan Interim Protection Order (IPO) untuk membolehkan kedua-dua mangsa dilindungi dan boleh disiasat serta disahkan mereka merupakan mangsa antipemerdagangan manusia untuk melengkapkan siasatan dan tindakan lanjut.

ARTIKEL BERKAITAN:

Rogol wanita Mongolia: Dua kertas siasatan dibuka