Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan jangkitan baharu hari ini adalah sebanyak 69 kes.

Ini adalah antara jumlah kes positif Covid-19 yang terendah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,251 kes dan oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah sebanyak 2,198 kes.

Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan dan sehingga kini, seramai 51 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Daripada jumlah tersebut, 26 kes memerlukan bantuan pernafasan,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah dalam sidang media di KKM hari ini.

Dalam pada itu, dua pesakit positif Covid-19 terkorban hari ini berbanding seorang semalam menjadikan keseluruhan mangsa yang terkorban akibat wabak berkenaan seramai 86 orang.

“Kes kematian ke-85 (kes ke-5, 064) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 85 tahun. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19, iaitu kes ke-4,657 berkaitan dengan kluster PUI Bali.

“Kes kematian ke-86 (kes ke-5,183) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 85 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan strok.

“Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19, iaitu kes ke-2,321,” katanya lagi.

Dalam pada itu, katanya, jumlah pesakit positif Covid-19 yang pulih juga terus meningkat.

Hari ini sahaja, sebanyak 201 pesakit positif Covid-19 telah pulih dan dibenarkan discaj dan ia menjadikan jumlah kumulatif pesakit positif telah sembuh sebanyak 2,967 kes. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast