Fattah dan Fazura dijangka menyambut kelahiran bayi mereka pada akhir tahun ini.

KUALA LUMPUR – Setelah mendirikan rumahtangga lebih dua tahun, pasangan selebriti, Fazura dan Fattah Amin bakal menimang cahaya mata pertama tidak lama lagi.

Menerusi kenyataan Universal Music Malaysia, Fazura dan Fattah dijangka menyambut kelahiran bayi mereka pada akhir tahun ini

Kenyataan itu memaklumkan, ketika ini Fazura dan bayi berada dalam keadaan sihat.

“Saya tidak pernah merasakan perasaan seperti ini dan ini merupakan antara anugerah terindah yang diberi oleh Allah S.W.T terhadap kami berdua.

“Semenjak kami mendirikan rumahtangga, kami sentiasa percaya dan menyerahkan kepada Yang Maha Esa terhadap apa jua rezeki atau dugaan yang diberikan oleh-Nya.

“Alhamdulillah akhirnya, berkat doa kami, keluarga tersayang, rakan-rakan dan juga para peminat yang sentiasa tidak pernah putus mendoakan kami, akhirnya doa kami semua dimakbulkan,” kata pasangan itu dalam kenyataan tersebut.

Selepas lebih dua tahun berkahwin, Fazura bakal bergelar ibu.

Sejak mendirikan rumahtangga, Fattah dan Fazura sering berhadapan dengan persoalan tentang kehamilan daripada media dan juga peminat.

Fazura pernah berjanji sekiranya dirinya hamil, peminat dan juga rakan-rakan merupakan antara yang pertama akan mengetahuinya dan kini berita tersebut telah pun menjadi kenyataan.

Fazura turut berasa syukur dengan kelancaran trimester pertamanya.

“Dalam kondisi yang kita semua sedang hadapi sekarang, saya kini sedang berehat di rumah. Alhamdulillah saya bersyukur tidak mempunyai sebarang alahan yang teruk setakat ini dan saya sangat teruja untuk menghadapi hari-hari yang mendatang,” katanya.

Pengarah Universal Music Malaysia, Kenny Ong juga meluahkan rasa kegembiraan untuk pasangan bahagia itu.

“Kami sudah menganggap Fazura dan Fattah seperti keluarga kami sendiri dan berita ini pastinya sangat dinantikan.

“Kami mengharapkan mereka berdua sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera dan dipermudahkan segala urusan. Kami juga tidak sabar untuk meraikan kelahiran cahayamata pertama mereka,” katanya.

Fattah dan Fazura bernikah pada 27 November 2017. – MalaysiaGazette

.