Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat saringan pemeriksaan ke atas ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di bangunan Sekolah Rendah Agama Jalan Raja Muda Musa Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 17 APRIL 2020.

PUTRAJAYA – Sekiranya kerajaan mahu menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas 28 April depan, perlu ada pelan strategik bagi memastikan penularan wabak Covid-19 dapat terus dibendung.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, pelbagai faktor perlu dilihat kerajaan memandangkan kes positif Covid-19 sudah mula menurun mulai hari ini.

“Untuk kita menamatkan PKP kita kena lihat beberapa faktor antaranya kes-kes berkurangan contohnya hari ini kita lihat kes yang positif ialah 5,251 kes. Itu kes keseluruhan tapi kalau kita tolak kes yang telah sembuh 2,967 dan kita tolak kes kematian 86, kita akan ada kes yang positif 2,168 sahaja.

“Jadi, kalau kita lihat unjuran kita pada 14 April sepatutnya kita mendapati mungkin kita unjuran ada 2,033 kes jadi kita terlebih 150 kes tetapi yang kes ini adalah kes yang masih dirawat ialah kes positif bermakna kes ini boleh menjangkiti orang lain.

“Kebolehan jangkitan itu ada jadi apa yang penting sebelum kita melihat pada menamatkan PKP kita mesti ada exit strategy,” katanya dalam sidang media harian di Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini.

Jelas Noor Hisham lagi, negara kini masih mempunyai sebanyak 2,168 kes positif Covid-19 yang boleh berjangkit kepada orang awam.

Maka, katanya, kes itu perlu dikurangkan dahulu sebagai indikasi kedua bagi proses menamatkan PKP.

“Kedua, kita gunakan pemantauan yang kita laksanakan pada bulan Januari untuk melihat kepada kes simptom influenza dan kes SARI dalam komuniti. Apabila kita ada 114 kes dan kita lihat dalam pemantauan kita kes SARI semakin berkurangan dan jadi itu salah satu indikasi yang lain untuk kita menasihatkan kepada MKN untuk menamatkan PKP.

“Kita juga melihat kepada kawasan tertentu dan kepadatan kawasan tersebut samada ada jangkitan atau kluster yang baru di kawasan tersebut.

“Mungkin ada satu kes boleh dikesan tapi yang lebih penting dia tidak menjadi satu kluster yang besar,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Noor Hisham menambah, pelan strategik itu juga perlu melihat kepada keupayaan hospital supaya dapat menampung jumlah pesakit pada masa akan datang.

Semalam, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggariskan enam syarat kepada negara-negara yang teruskan dengan Covid-19 sekiranya mahu menamatkan PKP.

Pertama adalah penyebaran penyakit terkawal, sistem kesihatan dapat ‘mengesan, menguji, mengasingkan dan merawat setiap kes dan mengesan setiap kontak’, risiko zon merah diminimumkan, sekolah, tempat kerja dan tempat-tempat penting lain telah menetapkan langkah pencegahan, risiko kes import dapat diatasi dan masyarakat dididik sepenuhnya tentang Covid-19.-MalaysiaGazette