Food delivery riders sending food to their customers

KUALA LUMPUR- Kementerian Pengangkutan mengeluarkan garis panduan untuk perkhidmatan penghantaran makanan dan bungkusan menggunakan motosikal (kini digelar parcel hailing atau p-hailing).

Antara garis panduan yang perlu dipatuhi penunggang p-hailing adalah mendaftar di aplikasi mySejahtera yang dikendalikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Para penunggang perlu menunjukkan bukti pendaftaran tersebut kepada pihak berkuasa di samping sentiasa membawa bersama surat pengesahan majikan atau surat pendaftaran dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ketika membuat penghantaran barangan.

Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, para penunggang e-hailing juga dinasihatkan supaya tidak menggunakan lebuh raya antara negeri bagi jarak perjalanan melebihi 10 kilometer.

“Mana-mana syarikat yang menyediakan perkhidmatan penghantaran barangan menggunakan motosikal bagi tujuan penghantaran makanan, minuman dan bungkusan (parcel) secara dalam talian mesti mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

“Berhubung perkara ini, Kementerian Pengangkutan telah mengkategorikan perniagaan ini sebagai p-hailing, iaitu perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal yang hanya untuk penghantaran makanan, minuman dan bungkusan sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, semua penunggang diminta untuk menjalankan proses sanitasi pembasmian kuman bagi kotak penghantaran setiap hari mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sekiranya terdapat pekerja yang dijangkiti Covid-19, pihak syarikat perlu membantu dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada KKM dalam usaha mengesan kontak atau contact tracing pekerja yang telah dijangkiti Covid-19 dan pengurusan kontak.

Bagi perkhidmatan p-hailing (parcel-hailing) yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sekiranya penunggang dijangkiti Covid-19 atau mempunyai simptom, adalah menjadi tanggungjawab individu berkenaan untuk melaksanakan langkah-langkah pencegahan penularan termasuk kuarantin diri dan memastikan tiada perkhidmatan dilaksanakan.

Sebarang aduan / pertanyaan mengenai MOT boleh e-mel ke [email protected], WhatsApp ke 019-2907723 atau layari laman web khusus (microsite) di pautan http://cccovid19.mot.gov.my/. Juga boleh hubungi talian Hotline MOT : 1800-88-7723 (8am-8pm) atau Pusat Pengurusan Operasi Negara, Majlis Keselamatan Negara, di talian 03-88882010.-MalaysiaGazette