Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat imbasan suhu badan keatas penduduk dari Kampung Periuk yang berbaris untuk menjalani saringan Covid-19 susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 18 APRIL 2020

NEGARA telah melalui banyak peristiwa dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Bermula dengan episod skandal 1MDB yang menggegarkan negara, bagaimana skandal seperti itu dibenarkan berlaku dalam sistem negara yang selama ini mengangkat semak dan imbang? Ramai yang tak percaya dengan apa yang
dikhabarkan pada awalnya tapi ia cukup memalukan kerajaan ketika itu di mana ketika itu kita menyaksikan kemenangan yang hampir besar kepada gabungan pembangkang yang baru dibentuk.

Manifesto yang dijanjikan juga antara penyebab kemenangan kepada pembangkang yang begitu besar. Pengundi makan umpan. Undi begitu besar untuk pembangkang. Kerajaan baharu pun terbentuk dan mengangkat sumpah. Seluruh negara seolah meraikan kemenangan itu.

Selepas 60 tahun, terbit perasaan, kerajaan sangat serius dalam membina negara. Negara yang menjanjikan kesejahteraan untuk semua rakyatnya tanpa mengira bangsa, agama mahupun latar belakang sosial. Perasaan positif ini terus disemarakkan dengan pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 bagi menggantikan Wawasan 2020 yang gagal. Tetapi selepas menjawat jawatan masing-masing, ada kegelisahan yang ketara dalam kalangan rakyat. Perubahan yang dijanjikan tidak jelas kelihatan. Sangat sedikit manifesto yang dijanjikan boleh dilaksanakan. Nampaknya, kadar hutang negara yang
ditinggalkan kerajaan sebelum ini memberi ruang yang sedikit untuk perubahan.

Kerajaan yang dibina oleh parti politik yang tidak sehaluan itu tidak stabil akhirnya berlaku perpecahan, kemudiannya menjadi semakin teruk. Melalui pembentukan gabungan politik dengan parti pembangkang, akhirnya parti gabungan baharu terbentuk dan mengambil alih kuasa daripada kerajaan. Meskipun ada pihak mendakwa pembentukan kerajaan itu melalui pintu belakang, namun mereka yang arif dengan undang-undang bersetuju bahawa ia dilakukan mengikut lunas undang-undang. Namun tidak lama selepas kerajaan baharu dibentuk, negara diserang dengan pandemik Covid-19. Bukan sahaja memberi
tamparan hebat kepada sistem kesihatan negara tetapi juga kesan kepada ekonomi. Tambahan lagi, harga minyak mentah dunia jatuh sampai kurang AS$30 setong, ia memberi kesan dua kali ganda kepada negara kerana minyak adalah hasil utama negara.

Dengan segala ancaman pembangunan dihadapi negara, yang perlu diutamakan ialah menyelamatkan negara daripada bencana ekonomi. Semua pakar menjangkakan perubahan besar akan berlaku kepada dunia selepas Covid-19. Ramai yang sedang bercakap tentang kemunculan sektor ekonomi yang baharu
bakal mengambil alih dunia. Tak dinafikan lagi kita perlu bersiap sedia dengan kemahiran yang sesuai untuk ekonomi yang baharu ini. Industri kesihatan dijangka akan berubah. Permintaan kepakaran dalam bidang kesihatan dan jangkitan penyakit akan meningkat. Pembuatan berasaskan digital juga akan dilihat penting terutama dalam bidang robotik dan AI. Apa yang jelas daripada pandemik ini, kemahiran akan datang mesti daripada pelbagai bidang dan pengetahuan.

Jelas sekali, sektor swasta akan terus menjadi kuasa  pertumbuhan. Kerajaan juga akan membentuk polisi baharu untuk memacu permintaan baharu daripada perniagaan-perniagaan ini. Tak diragukan, GLC juga ada peranan untuk meningkatkan ekonomi negara terutama dalam bidang yang lebih berisiko di mana penglibatan sektor swasta masih rendah. Universiti akan dipanggil untuk menyokong perkembangan kemahiran baharu ini. Ketika pandemik Covid-19, pihak universiti juga tidak terkecuali daripada mengalami gangguan perniagaan. Kita sangat bertuah kerana universiti kita telah membentuk
kematangan dan ketahanan untuk menghadapi ancaman seumpama ini melalui pengalaman yang bertahun lamanya.

UCSI University turut memberi respon yang berkesan dan kita dapat saksikan dalam masa yang singkat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), universiti telah berjaya menyediakan platform
pembelajaran secara digital bagi menggantikan kelas fizikal. Kejayaan ini berjaya dilaksanakan susulan persefahaman antara kakitangan dan pelajar yang sangat baik.

UCSI University juga telah melaksanakan rundingan yang meluas dengan sektor perniagaan dan badan profesional untuk memastikan model pembelajaran secara digital ini menepati kualiti ditetapkan pemegang taruh yang utama. Perhubungan yang konstruktif dengan jabatan pendidikan sangat membantu
dalam membentuk model pembelajaran baharu ini. Apa yang penting adalah kami di universiti akan terus melahirkan golongan profesional yang tepat untuk membantu bidang yang penting dalam membangun negara.

Oleh: Professor Datuk Dr Ahmad Ibrahim
Felow Akademik Sains Malaysia, UCSI University