KUALA LUMPUR – Kerajaan disarankan supaya membuat kajian semua berhubung had umur pinjaman perumahan, iaitu daripada 70 tahun sekarang kepada 80 tahun.
Ini kerana, dalam mendepani penularan wabak Covid-19, kerajaan memerlukan sekurang-kurangnya dua tahun tempoh untuk memulihkan semula ekonomi negara.
Aktivis masyarakat, Azman Kang Abdullah berkata, ketika ini syarat had umur maksimum pinjaman perumahan adalah 70 tahun dan dalam menghadapi Covid-19, beberapa perkara perlu diberi perhatian khususnya kesan penularan pandemik kepada ekonomi keseluruhannya.
“Isu perumahan juga tidak terkecuali kerana walaupun institusi kewangan memberi moratorium selama enam bulan kepada peminjam, ia hanyalah penyelesaian jangka masa pendek.
“Paling mustahak, bagaimana seseorang peminjam boleh komited untuk membayar keseluruhan pinjaman jika ekonomi mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun untuk kembali pulih seperti biasa.
“Justeru, saya mohon kerajaan dapat menaikkan had umur pinjaman perumahan kepada 80 tahun,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.
Menurut Azman, dengan had baharu ini bayaran ansuran pinjaman perumahan akan bekurangan dan sekaligus membantu peminjam meringankan beban pembayaran ansuran, di samping merangsang ekonomi negara.
Katanya, walaupun harga hartanah tidak akan turun, hasrat untuk memiliki rumah dengan kewangan yang tidak stabil akan menimbulkan pelbagai masalah dari segi sosial dan kekeluargaan.
Jelas beliau, laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran beberapa tahun lalu menunjukkan isi rumah berpendapatan median RM4,585, tanpa sebarang obligasi hutang lain atau tabungan, hanya mampu membeli rumah berharga bawah RM260,000, iaitu selepas mengambil kira belanja sara hidup.
“Terdapat pelbagai pelan pinjaman perumahan ditawarkan baik oleh insistusi kewangan atau pun rangkaian pemaju.
“Jika ekonomi negara tidak dapat dipacu, ia akan memberi masalah kepada keseluruhannya dan pengurangan kadar bayaran untuk jangka masa panjang adalah satu kaedah yang difikirkan sesuai,” katanya. – MalaysiaGazette