SHAH ALAM – Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor, Haniza Mohamed Talha menyifatkan tindakan pekedai yang membenarkan pelanggan menjamu selera di premis mereka adalah bertentangan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau juga menggesa orang ramai yang melihat perbuatan seumpama itu supaya melaporkannya kepada pihak berkuasa khususnya pihak polis dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Kalau ikut syarat PKP, pekedai itu salah, kerana benarkan orang makan di kedainya.
“Kena buat laporan kalau nampak, kena tangkap gambar dan beri kepada pihak berkuasa supaya tindakan akan diambil.
“Kalau sekiranya ada, pihak awam boleh buat laporan dan aduan sebab talian aduan masih dibuka,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kg Baru Hicom, di sini, hari ini.
Beliau mengulas laporan MalaysiaGazette hari ini yang mendedahkan terdapat segelintir individu dipercayai penduduk PPR Kg Baru Hicom yang melanggar PKP dengan menjamu selera di sebuah kedai makan di dalam kawasan perumahan itu.
Ini kerana terdapat beberapa individu duduk di kerusi dan meja premis terbabit sambil menikmati minuman dengan selamba dan tanpa rasa serba salah.
Walaupun terdapat penghantar makanan berulang-alik ke kedai makan terbabit, namun tindakan pekedai membenarkan pelanggannya minum di premis jelas melanggari arahan PKP.
Terdahulu Haniza merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya menyampaikan bantuan barang keperluan kepada penghuni di 980 unit rumah di PPR Kg Baru Hicom.
Sumbangan itu merupakan siri Program Sumbangan Prihatin kepada penduduk PPR di Selangor dengan kerjasama
Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) serta Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Selangor sudah mengeluarkan arahan agar rakyat perlu duduk di rumah bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19.
Insiden yang berlaku di lokasi program Exco Selangor itu, jelasnya, di luar kawalannya kerana ia menjadi tanggungjawab kerajaan tempatan untuk menguatkuasakan PKP di kawasan terbabit.
“Kerajaan Negeri sudah beri arahan, jadi pelaksaannya adalah di peringkat kerajaan tempatan.
“Majlis-majlis kena tengok, tapi majlis tak ada la sampai 24 jam merayap tengok orang buat salah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Kamu tu Exco Perumahan, gambar sudah terpangpang disurat khabar masih nak suruh “orang ramai” buat laporan? Dengar macam nak lepas tangan saja!