PUTRAJAYA – Sekurang-kurangnya enam kriteria utama perlu diambil kira sekiranya mahu menentukan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disambung ataupun tidak.
Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu memberikan pandangan dan data kepada Perdana Menteri sebelum langkah itu boleh diputuskan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, bagi kriteria pertama ia melibatkan kawalan sempadan dan itu penting bagi mengelakkan kes import berlaku dan perkara ini wajar dipelajarai daripada negara lain.
“Kriteria kedua, kawalan pergerakan untuk memastikan tiada rakyat tempatan dijangkiti dan pentingnya untuk rakyat berada di rumah.
“Kriteria ketiga pula adalah berkenaan peningkatan fasiliti kesihatan, manakala kriteria keempat ialah keperluan menjaga golongan berisiko seperti warga emas, pesakit yang dirawat serta orang kurang upaya (OKU),” katanya pada sidang media harian Covid-19 di kementeriannya hari ini.
Bagi kriteria kelima, Noor Hisham berkata, adaptasi normal baharu dalam kehidupan seperti tidak berkumpul, tidak bersalam, penjarakan sosial dan memakai pelindung muka perlu dilakukan oleh masyarakat hari ini.
Untuk kriteria keenam pula kata beliau, pemerkasaan komuniti bagi menjaga kawasan tidak dijangkiti seperti zon hijau serta mengamalkan aktiviti normal baharu.
Dalam pada itu, Noor Hisham memberitahu, pihaknya membuat perancangan untuk melindungi zon hijau Covid-19, khususnya di kawasan utara Semenanjung bagi mengelakkan kes baharu.
Ujarnya, KKM akan memaklumkan langkah yang akan diambil itu dalam tempoh seminggu dua lagi.
Tambah beliau, antara perancangan kawalan ialah melindungi zon berkenaan daripada kes jangkitan baharu yang membabitkan bukan saja negeri tetapi hingga ke peringkat daerah dan mukim.
“Zon itu perlu dilindungi dengan tindakan sewajarnya akan dilakukan dan kita akan maklum perancangan itu dalam tempoh seminggu dua ini,” katanya. – MalaysiaGazette