Sekatan jalan raya dilakukan bagi mengawal laluan keluar masuk Taman Sri Murni berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung penularan Covid-19 ketika tinjauan Malaysia Gazette di Selayang, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Tindakan Kerajaan Singapura melanjutkan sekatan pergerakan hingga 1 Jun ini membuktikan langkah kerajaan Malaysia meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu adalah tepat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuat keputusan bijaksana dan tegas bagi membendung pandemik Covid-19 seawal mungkin pada waktu keemasan ketika itu, kata Naib Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng.

Beliau berkata, sekiranya kerajaan tidak melanjutkan PKP, sudah tentu pandemik itu akan menjadi sukar dikawal dan kadar jangkitan tidak dapat diturunkan secara berkesan, sekali gus menyukarkan usaha memutuskan rantaian virus secara menyeluruh.

Tan Teik Cheng
Tan Teik Cheng

Melihat kepada trend kes baharu jangkitan yang semakin reda dan menurun, usaha meratakan lengkuk pandemik telah menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan.

Semua ini, katanya, hasil tindakan tegas kerajaan dan Kementerian Kesihatan, dibantu dengan kerjasama bersungguh-sungguh orang ramai.

“Memasuki hari ke-35 PKP, kes positif jangkitan terus menunjukkan penurunan konsisten kepada dua digit.

”Ini kerana pelaksanaan PKP yang awal dan tegas, selain kerahan tenaga yang menyeluruh di Kementerian Kesihatan, tentera dan polis yang bekerja keras siang dan malam tanpa lelah,” katanya.

Sehubungan itu, Tan menyeru orang ramai supaya terus memberikan sokongan padu dengan mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan. Duduk di rumah serta mengamalkan penjarakan sosial. – MalaysiaGazette