Suasana Ramadan yang mungkin Che Pah tidak akan dapat lalui tahun ini berikutan pandemik Covid-19.

Marhaba.. Insyaallah petang Khamis nanti anak bulan akan mula diintai pakar Ilmu Falak di negara kita.

Jadi atau tidak kita berpuasa akan diisytiharkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja Raja pada malamnya.

Diam tak diam sudah hendak berpuasa semula kita. Terasa baru sahaja Ramadan tahun lalu meninggalkan kita. Begitu cepat masa berlalu.

Uban di kepala Che Pah pun sudah mula memutih. Rambut yang dulu hitam keperang perangan kita bertukar putih keperangan.

Begitulah ibaratnya cepat masa berlari meninggalkan kita. Nak kata apa. Redha saja. Sudah begitu ketentuan keadaannya sekarang ini.

Namun bulan Ramadan kali ini amat berbeza bagi Che Pah. Kali ini Che Pah dan seisi negara menyambutnya dalam suasana PKP. Duduk diam diam dalam rumah. Tak perlu ke sana ke sini.

Keluarga Che Pah mungkin tidak dapat berkumpul seperti mana tahun yang lalu. Che Pah di Muar. Kakak di Bangi. Abang serta Adik Che Pah di Putrajaya.

Bulan puasa banyak meninggalkan kenangan teramat manis buat diri Che Pah. Dari kecil hingga kini, Ramadan ibarat bulan paling mendatangkan kesan dalam perjalanan hidup Che Pah.

Insyaallah sepanjang Ramadan ini, akan Che Pah nukilkan pelbagai kenangan yang menggamit memori untuk tatapan bersama.

Setiap dari kita pasti punya kenangan tersendiri di bulan puasa. Jadi Che Pah harap, penulisan Che Pah kelak akan membuatkan pembaca tersenyum kala mengingatkan kenangan diri masing masing.

Tahun tahun sebelum ini, Che Pah orang paling bahagia dan seronok kala tiba bulan puasa. Mana tidaknya. Bulan puasa bermakna seluruh ahli keluarga Che Pah akan berkumpul di bawah satu bumbung.

Abang, adik, kakak serta ibu saudara dan ipar duai akan berkumpul di rumah Abang Che Pah di Putrajaya.

Bermula dari awal Ramadan hinggalah penghujungnya, kami tak berpisah. Lebih meriah dari menyambut raya.

Malam pertama terawih tahun lalu, kami sudah bersolat bersama. Che Pah beli sejadah baru di Nilai. Sejadah baru kali ini empuk seperti karpet.

Che Pah beli sama warna. Che Pah suka warna seragam. Kurang gemar yang bercampur aduk coraknya. Nampak kurang kemas.

Bagi ahli keluarga perempuan pula telah Che Pah belikan inai. Malam itu semua ahli keluarga perempuan berinai sebagai menzahirkan rasa gembira menyambut puasa.

Che Pah pula setiap kali nak puasa, Che Pah pasti beli beberapa helai jubah baru. Rasa gembira tak terkata nak menyambut Ramadhan.

Biasanya setiap jam 5 petang, rumah Abang sudah mula penuh. Ahli keluarga mula sampai. Abang orang paling sibuk ke pasar Ramadhan.

Abang beli pelbagai jenis kuih. Tapi paling Abang suka ialah popia dan tepung pelita. Che Pah malas sikit ke Pasar Ramadan. Kurang gemar tempat terlalu ramai orang.

Seorang anak buah Che Pah bernama Sakeenah Al Habshi ditugaskan membuat air. Dia pakar bab membuat air. Setiap hari pelbagai jenis air dihidangkan hasil buah fikiran Sakeenah.

Kakak ipar Che Pah yang mesra Che Pah  panggil Akak, orang paling penting bila tiba bulan Ramadan. Akak adalah Chef keluarga kami.

Akak seorang yang pantas. Bayangkan kadang kadang Akak terlambat pulang dari pejabat, namun tepat masa, semua masakan siap terhidang di atas meja untuk kami berbuka. Memang Wonder Woman.

Akak sangat pantas dan cekap bab masak memasak. Cakap saja nak makan apa, pasti ditunaikan. Akak masak cepat dan dalam masa yang sama ianya sedap.

Bab menghidangkan makanan pula adalah tugas dua orang anak buah yang lain iaitu Shadiya Al Habshi dan Shaheera Al Habshi. Jika seorang menghidang maka tugas seorang yang lain pula mengemas selesai berbuka.

Kebiasaannya keluarga Che Pah akan berbuka dengan kurma serta sedikit kuih muih terlebih dahulu.

Usai membatalkan puasa, kami solat Maghrib berjemaah. Abang menjadi imam kami. Waktu inilah kami terasa amat dekat sekali di antara satu sama lain.

Selesai solat Maghrib, barulah kami  menjamu selera. Biasanya keluarga Che Pah sudah menyiapkan menu untuk setiap hari. Menu ini akan dilekatkan di depan pintu peti ais.

Jadi apabila Akak hendak memasak, Akak hanya ikut saja menu yang telah ditetapkan pada senarai yang telah disiapkan. Jadi tidaklah Akak pening kepala memikirkan apa hendak dimasak.

Selesai menjamu selera, kami akan bersiap pula untuk solat Isyak. Sambil menunggu Abang bersiap untuk memimpin kami bersolat, kami menghabiskan masa dengan mengaji.

Sejurus Abang turun ke ruang tamu, kami akan bersama sama membaca Ratib Al Haddad terlebih dahulu.

Selesai ratib, kami solat Isyak berjemaah dan diikuti dengan solat terawih. Kala solat terawih, anak buah lelaki kesayangan Che Pah iaitu Mohammad Al Habshi dan Mohdzar Al Habshi akan banyak memainkan peranan.

Abang telah mula melatih kedua anak lelaki kembarnya ini sejak dari kecil dengan pelbagai jenis ratib, doa, selawat dan qasidah. Alhamdulillah semuanya mereka berdua sudah hafal.

Selesai terawih, salah seorang sama ada Mohammad atau Mohdzar akan membaca doa. Doa ini telah dibuat oleh para Habaib dari jurai keturunan kami sejak beratus tahun dahulu. Sampai kini kami masih pegang.

Usai berdoa, Abang akan memimpin kami berqasidah pula. Qasidah ini juga telah dicipta dari jurai keturunan kami sejak sekian lama dulu. Kami  meneruskan tradisi pembacaan hingga kini untuk mengambil baraqah.

Apabila semua telah selesai, maka tibalah pula masa untuk MORAEH atau dalam Bahasa Melayu dipanggil Moreh.

Kopi panas, sedikit kuih muih serta buah buahan pula menjadi santapan. Waktu ini juga kami gunakan untuk berbual santai.

Boleh dikatakan bulan Ramadhan adalah bulan rahmat serta penuh pancaran kasih sayang bagi keluarga Che Pah. Kami tidak bersolat terawih di masjid mahupun surau.

Kami lakukan di rumah. Kami berkumpul. Berbuka bersama dan bersolat bersama. Kami bina ikatan kasih sayang yang teramat kukuh bersama.

Begitulah keluarga Che Pah. Kami dididik  oleh nenek yang kami panggil Emak untuk menyanjung kasih dan sayang.

Emak seorang nenek yang dari dirinya terpancar nilai kasih dan sayang yang sangat tinggi. Tak berbelah bagi. Sangat adil pada semua cucu cucunya.

Emak tak pernah kenal erti dendam. Emak tak pernah tahu apa itu hasad atau marah. Emak hanya tahu untuk mengasihi serta mendidik kami mengenal ertinya sayang.

Di kesempatan ini Che Pah ingin mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadan kepada semua. Che Pah mohon maaf jika ada terkasar bahasa sehingga menyentuh perasaan anda yang membaca. Sudilah maafkan ya.

Jadikan Ramadhan dalam suasana PKP ini sebagai peluang keemasan untuk kita membina cinta serta kasih sayang dalam keluarga.

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast