KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) membantah keputusan Parlimen yang mengehadkan persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei sahaja.
Majlis Presiden PH yang bermesyuarat hari ini turut berkata perbahasan dan perbincangan usaha Kerajaan membendung wabak Covid-19 wajib diberi tumpuan khusus Parlimen.
“Kami mencadangkan agar sidang diadakan selama sekurang-kurangnya dua hari
selain hari perasmian Parlimen bagi membolehkan perbahasan dan perbincangan yang lebih mendalam.
“Perubahan ini boleh dilaksana Ketua Majlis berdasarkan Peraturan Mesyuarat 11(2),” kata ketiga-tiga pucuk pimpinan tertinggi PH, hari ini
Ia terdiri daripada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu, dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Oleh yang demikian, PH akan menghantar wakilnya untuk mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof pada kadar segera bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan.
Dalam pada itu, PH berkata wujudnya beberapa pelanggaran kelaziman dan Peraturan Mesyuarat Parlimen, berdasarkan notis mesyuarat bertarikh 17 April 2020.
Ini kerana Setiausaha Dewan Rakyat telah memaklumkan bahawa dalam keadaan wabak Covid-19 sedang menular ini, mesyuarat Parlimen akan berjalan tanpa sesi pertanyaan Jawab Lisan, Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, serta apa-apa Usul daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat.
“Majlis Presiden mengingatkan bahawa fungsi Parlimen adalah sebagai tiang seri demokrasi, khususnya sebagai institusi semak dan imbang mengawasi perjalanan Kerajaan.
“Maka Pakatan Harapan membantah keras tindakan tidak membenarkan sesi Jawab Lisan dan Usul-Usul seperti yang dimaklumkan Setiausaha Dewan Rakyat,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini, Mohamad Ariff berkata persidangan Dewan Rakyat akan diteruskan pada 18 Mei ini walaupun negara berdepan penularan pandemik Covid-19.
Terdahulu, persidangan Dewan Rakyat yang dijadual berlangsung pada 9 Mac lalu, ditangguhkan ke 18 Mei.
Untuk rekod, persidangan Dewan Rakyat kali ini akan menyaksikan Pakatan Nasional (PN) dianggotai Barisan Nasional, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tampil sebagai blok kerajaan.
PH dianggotai DAP, PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) pula kembali menjadi pembangkang. -MalaysiaGazette
PH kena buat dulu semua negeri pentadbirannya bersidang seperti biasa.
Elehhh.. Dun pulau pinang bersidang 2 jam korang tak bising pulak.. Meroyan ke????
ini kan geng chinesevires Dapigs