Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, ACP Muhammad Yazid Muhammad Yew bercakap pada sidang media berkenaan Ops-Covid 19 Fasa 3 hari ke- 10 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 24 APRIL 2020

SHAH ALAM – Sebanyak 4,072 tangkapan dibuat melibatkan kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  di seluruh Selangor sejak 18 Mac lepas.

Jurucakap Polis Kontinjen Selangor Ops Covid-19, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, sepanjang tempoh pelaksanaan PKP sehingga 23 April lalu, pihak polis Selangor telah menerima sebanyak 2,953 laporan polis berkaitan PKP dan Covid-19.

“Untuk statistik tangkapan berdasarkan kumulatif mulai 18 Mac 2020 hingga 23 April 2020 jam 12 tengah malam tadi, sebanyak 1,855 kertas siasatan telah dibuka dan daripada jumlah tersebut pihak polis kotinjen Selangor telah membuat 4,072 tangkapan,” katanya ketika sidang media hari ini.

Dalam pada itu, sebanyak 149 kes pelanggaran PKP dituduh di mahkamah untuk tempoh 23 April 2020 sahaja, sekaligus menjadikan jumlah pertuduhan di negeri itu adalah 918 kes.

“Jumlah kertas siasatan yang dibuka bagi pelanggaran PKP bagi 23 April sebanyak 48 kes dibuka, pada semalam sahaja kita menuduh 149 kes di mahkamah yang mana menjadikan pertuduhan di mahkamah setakat ini 918 kes melibatkan 2001 orang tertuduh,” tambah Muhammad Yazid.

Bagaimanapun, katanya, terdapat peningkatab lima peratus terhadap aspek pematuhan PKP pada fasa ketiga ini.

“Tahap pematuhan orang ramai di Selangor pada ketika ini adalah 92.5 peratus,” katanya.

13 April yang lalu beliau berkata tahap pematuhan rakyat Selangor terhadap PKP bagi Fasa 1 dan Fasa 2 sejak 18 Mac hingga 12 April lalu adalah pada tahap 92 peratus.

Selain itu, jumlah kenderaan yang keluar di Selangor semakin meningkat apabila polis ketika Sekatan Jalan Raya (SJR) semalam membuat pemeriksaan kepada 71,368 buah kenderaan dalam tempoh 24 jam.- MalaysiaGazette