SHAH ALAM – Seorang lelaki berumur 42 tahun ditahan reman selama dua hari selepas merempuh Sekatan Jalan Raya (SJR) pada 22 April.
Jurucakap Polis Kontinjen Selangor Ops Covid-19, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew tidak menolak kejadian yang berlaku di Tol Sungai Besi itu berpunca daripada sikap kurang sabar orang awam melalui SJR yang dilakukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Suspek kini disiasat di bawah 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 kerana menghalang tugas penjawat awam, Seksyen 26(2), Akta Polis 1967 dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“Berlaku kejar-mengejar polis dengan lelaki yang memandu kereta itu dalam lebih kurang 45 minit, kemudian polis berjaya menahannya. Terdapat orang luar yang kurang sabar ketika melalui SJR,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.
Muhammad Yazid berkata, tiada kecederaan dalam kejadian itu namun berlaku kerosakan peralatan SJR yang digunakan oleh pihak polis.
Justeru polis menasihatkan orang ramai agar mematuhi SJR yang dilakukan polis bagi tujuan menghadkan pergerakan dalam usaha memutuskan rantaian wabak Covid-19.
“Ini lebih kepada sikap individu, memang kita akan menghadapi beberapa isu sekatan jalan raya, lambat ke tempat-tempat tapi kena bersabar,” katanya. – MalaysiaGazette
Bodoh bingai orang tu.. Tembak je!!