KUALA LUMPUR – Selepas dihentikan sementara berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Malindo Air akan menyambung semula perkhidmatan domestiknya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, mulai 27 April dengan satu penerbangan setiap hari ke setiap destinasi domestiknya.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat penerbangan itu berkata kadar tambang dari RM199 sehala untuk perjalanan domestik di Semenanjung Malaysia dari Subang ke Pulau Pinang, Langkawi, Alor Setar, Kota Bharu, Kuala Terengganu, dan Johor Bahru.
Kadar tambang dari KLIA ke Kuching sebanyak RM299 untuk kelas ekonomi sehala dan RM499 untuk kelas perniagaan sehala manakala kadar tambang dari KLIA ke Kota Kinabalu sebanyak RM399 (kelas ekonomi sehala) dan RM699 (kelas perniagaan sehala).
Sementara itu, kadar tambang dari KLIA ke Pulau Pinang sebanyak RM159 untuk kelas ekonomi sehala dan RM399 untuk kelas perniagaan sehala, katanya.
“Malindo Air akan meneruskan penerbangan perkhidmatan pertamanya OD 1012 dari KLIA ke Kota Kinabalu dan penerbangan OD 1606 dari KLIA ke Kuching, dengan kedua-dua penerbangan itu berlepas serentak pada 7:15 pagi pada 27 April.
“Penerbangan itu dilakukan untuk memenuhi permintaan dan memudahkan perjalanan untuk pulang oleh rakyat Malaysia, terutamanya pelajar yang terkandas di kampus sejak PKP dikuat kuasakan. Penumpang perlu mempunyai topeng muka, dan jika gagal, mereka perlu membelinya sebelum dibenarkan menaiki pesawat,” katanya.
Malindo Air, yang memberikan perkhidmatan kepada sebahagian besar lapangan terbang di Semenanjung Malaysia serta di Sabah dan Sarawak, telah menghentikan operasinya sejak PKP dikuat kuasakan pada 18 Mac, 2020, kecuali penerbangan menyelamat dengan Wisma Putra membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara dan pergerakan kargo bekalan perubatan dari China.
Bagaimanapun, buat masa ini, semua penerbangan antarabangsa dari KLIA tetap dilarang.- BERNAMA