Shan Saeed BERITA BERKAITAN Malindo Air sambung semula penerbangan domestik Kerajaan perlu sedia ruang fiskal mencukupi untuk dimanfaatkan - Khairy

KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia mempunyai kebingkasan untuk melantun semula daripada keadaan semasa berikutan tenaga buruhnya yang teguh dan produktif, kata seorang ahli ekonomi.

Ketua Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed berkata kerajaan sedang menumpukan kepada sektor yang mampu memulakan ekonomi dalam masa yang singkat sambil mengekalkan aktiviti makro-ekonomi yang akan menyokong prospek ekonomi.

“Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilanjutkan sehingga 12 Mei, kerajaan bersiap sedia sepenuhnya bagi mengembalikan keyakinan pelabur ke negara ini sambil mengekalkan pertumbuhan dan momentum ekonomi, yang penting untuk prospek jangka panjang,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Shan berkata, pelan pemulihan ekonomi yang diumumkan oleh kerajaan semalam akan meningkatkan keyakinan pelabur tempatan dan asing untuk meneruskan pelaburan di Malaysia.

“Yang terbaik sekali, apabila ekonomi Malaysia dibuka dan sektor mula beroperasi, kita akan melihat pelaburan langsung asing datang kembali ke dalam ekonomi,” katanya.

Beliau menjelaskan orang ramai masih perlu untuk membeli-belah, mengunting rambut dan membeli kereta, rumah serta lain-lain barangan asas; oleh itu, permintaan akan terus kukuh.

“Memandang ke hadapan, kami mengekalkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar 2020 di antara satu dan dua peratus walaupun ketidakpastian ekonomi,” katanya, sambil menambah ringgit akan terus mengekalkan kestabilan di antara 3.97 dan 4.30 berbanding dolar US.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Kementerian Kewangan serta Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri akan merangka pelan pemulihan ekonomi yang komprehensif untuk jangka pendek, sederhana dan panjang.

Ini bertujuan untuk memastikan supaya aktiviti ekonomi dapat dipulihkan dengan cepat selepas tempoh PKP berakhir. Antara inisiatif yang akan dirumuskan adalah membina keupayaan dan kemahiran rakyat, menggalakkan perbelanjaan domestik, meningkatkan daya tahan industri termasuk perusahaan kecil dan sederhana, serta memupuk persekitaran pelaburan yang lebih positif bagi masa depan.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga akan mempertimbangkan untuk membuka semula lebih banyak sektor dan subsektor tetapi tertakluk kepada keadaan yang ketat bagi memastikan syarikat terus berdaya saing manakala keselamatan pekerja dilindungi.- BERNAMA