Kumpulan Houthi. Gambar media sosial

DUBAI – Perikatan ketenteraan yang diterajui Arab Saudi memanjangkan tempoh gencatan senjata di Yemen selama sebulan bagi menyokong usaha menbendung penularan wabak koronavirus, lapor Saudi Press Agency (SPA) yang memetik jurucakap perikatan itu.

Gencatan senjata selama dua minggu yang diumumkan perikatan itu bagi memerangi kumpulan pemberontak Houthi tamat tempoh pada Khamis lalu.

Pemberontakan Houthi tidak menerima gencatan senjata yang diumumkan perikatan itu sebelum ini dan keganasan berterusan di beberapa buah wilayah, meningkatkan kebimbangan bahawa peperangan akan menghancurkan Yemen yang kini berhadapan dengan kekurangan dalam memerangi koronavirus.

Kumpulan Houthi menggulingkan kerajaan yang diiktiraf masyarakat antarabangsa yang disokong Arab Saudi pada akhir 2014.

Mereka mahu sekatan perjalanan udara dan laut yang dikuatkuasa perikatan itu di rantau yang dikuasai pemberontak tersebut ditarik balik sebelum bersetuju dengan pelaksanaan gencatan senjata, kata sumber kepada Reuters.

“Pemerintah perikatan menegaskan bahawa masih terdapat peluang untuk memberi tumpuan kepada semua usaha bagi mencapai gencatan senjata yang komprehensif dan kekal,” kata jurucakap perikatan itu, Kolonel Turki al-Maliki seperti dipetik SPA.

Pada bulan lalu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres  menggesa gencatan senjata dilaksanakan di seluruh dunia bagi membolehkan tumpuan diberi bagi memerangi penularan wabak Covid-19. – Agensi